Thursday, April 5, 2012

KEM PERDANA SEAFIELD 2012

PROGRAM : KEM PERDANA SEAFIELD
TEMPAT : TERATAK NALYS ECO RESORT & EQUASTRIAN, BATANG KALI, SELANGOR.
TARIKH : 30, 31 MAC, 1 APRIL 2012
LAPORAN OLEH : INTAN SYAHIRAH BT SHAHRUDIN (5J), PENGERUSI PERSATUAN SEJARAH 2012


Gambaran Kenangan : Badan Beruniform "Kem Perdana Seafield" kali ke-3
Pada 30, 31 Mac dan 1 April 2012, kem perdana kali ke-3 telah berlangsung di Teratak Nalys Eco Resort dan Equastrian di Batang Kali, Selangor. Seramai 155 peserta serta 20 orang guru pengiring telah mengikuti perkhemahan Perdana kali ke-3 ini. Banyak pengalaman menarik yang didapati sepanjang kem ini.
Hari Pertama : 30 Mac 2012 (Jumaat)
Pada pagi Jumaat, 30 Mac 2012, semua peserta kem berkumpul di dewan sekolah dan baris mengikut unit beruniform masing-masing. Sedikit taklimat berkaitan kem telah diberikan oleh Encik Jafny. Selepas itu, para peserta berlatih menyanyikan lagu Negaraku serta lagu Kem Perdana. Kemudian, para peserta menunggu kedatangan Encik Nazuha selaku ketua kem komanden untuk sesi raptai. Pada pukul 9 pagi, Majlis Penyerahan Bendara Kem diadakan. Semua pesertadiminta berkumpul dan beratur mengikut unit masing-masing sementara menunggu kedatangan YDP PIBG serta guru-guru penolong kanan. Acara dimulakan apabila YDP tiba dan pemeriksaan barisan dilakukan oleh YDP PIBG diiringi Pn. Chong, Penolong Kanan 1. Seterusnya, amanat daripada Pn. Chong serta lagu Negaraku dinyanyikan. Kemudian, penyerah bendera kepada ketua kem komander dan amanat daripada YDP PIBG serta sesi fotografi dilakukan.
Selepas selesai acara penyerahan bendera kem, pembahagian bas untuk semua peserta dilaksanakan dan sebanyak 5 buah bas yang ada. Kemudian, para peserta bertolak ke kawasan kem. Pada pukul 12.30 tengah hari, para peserta sampai di kawasan kem dan berkumpul di hadapan pintu masuk untuk menunggu semua peserta yang lain. Kedatangan disambut oleh Pegawai Kem dan Fasilator. Para peserta berkumpul di depan dewan terbuka mengikut unit masing-masing dan Pegawai Kem memberi taklimat kepada para peserta kem. Selepas itu, pertandingan memasang khemah dijalankan. Setiap unit dikehendaki menghantar dua orang wakil untuk memasang khemah dan hanya lima minit masa ayng diberikan.

Pada pukul 1.15petang, peserta perempuan dibenarkan mengambil beg dan bergerak ke dorm. Peserta lelaki pula dikehendaki memasang khemah di tapak perkhemahan dan seterusnya semua perlu menukar pakaian yang sesuai. Seterusnya, aktiviti flying fox dijalankan, pihak kem menerangkan keselamatan dan cara pemakaian yang betul kepada para peserta. Sementara itu, peserta lain melakukan aktiviti paintball. Para peserta yang selesai melakukan aktiviti flying fox melakukan aktiviti kawad. Latihan berakhir pada pukul 6.30 petang.
Pada pukul 8 malam, siren dibunyikan dan semua peserta dikehendaki berkumpul di padang. Pegawai kem telah memberikan taklimat berkaitan aktiviti yang akan dilakukan seterusnya. Aktiviti night trail dijalankan. Semua peserta mendengar dengan teliti agar tiada perkara butuk yang berlaku. Selepas taklimat, peserta dibenarkan bertanya tentang aktiviti night trail dan pengagihan lampu suluh ke semua peserta. Selepas itu, peserta dibenarkan berehat sehingga mendengar siren dibunyikan. Pada pukul 2.20pagi, semua peserta dan guru selamat pulang di kawasan kem. Pengiraan peserta dilakukan untuk tahu semua peserta cukup atau tidak. Sedikit taklimat diberikan selepas itu.


Para pentadbir Pn Chong IK, Pn Ainon Mohamad, En Abdul Rahim Khalid dan YDP PIBG Datuk Abd Rahman Haji Ali hadir pada Majlis Perasmian
Hari Kedua : 31 Mac 2012 (Sabtu)
Pada hari kedua, 31 Mac 2012, semua peserta kem dikehendaki bangun awal dan bersiap serta memakai baju kem perdana 2012. Kemudian, para peserta dibenarkan bersarapan. Pada pukul 8 pagi, siren dibunyikan menandakan semua peserta perlu berkumpul. Aktiviti senaman ringkas telah dilakukan selepas itu dan dikendalikan oleh Encik Zulkifli. Selepas itu, taklimat berkaitan jungle trekking oleh Encik Robert dan semua peserta kem bersama guru bersiap sedia untuk bertolak. Peserta melakukan aktiviti jungle trekking menggunakan jalan night walk malam tadi.semua peserta berbaris mengikut unit masing-masing dan bertolak untuk aktiviti tersebut. Pada pukul 10 pagi, semua peserta dan guru tiba di Pahlawan Eco Resort. Encik Robert memberi taklimat ringkas tentang apa yang akan dilakukan di situ. Kemudian, para peserta dikehendaki untuk mencari kayu api untuk aktiviti survival petang nanti. Semua peserta bekerjasama dalam kumpulan.
Selesai mencari kayu api, semua dikehendaki berkumpul dan aktiviti jungle trekking dimulakan, peserta masuk ke dalam hutan. Terdapat banyak halangan yang perlu direntangi namun semua peserta menolong antara satu sama lain semasa di dalam hutan. Pada pukul 12.20 tengah hari, semua peserta menunggu kedatangan setiap ahli kumpulan di suatu tempat di dalam hutan. Selepas itu, sedikit taklimat ringkas diberikan. Kemudian, aktiviti selamatkan pesakit dilakukan dan sebelum itu, taklimat dan cara mengendalikan pesakit ditunjukkan kepada peserta. Sebanyak tiga kumpulan besar dibentukdan para peserta perlu membawa pesakit turun semula ke Pahlawan Eco Resort. Keselamatan pesakit perlu diambil kira dan amat diambil perhatian.
Pada pukul 2 petang, semua kumpulan selamat tiba bersama pesakit dan semua peserta dibenarkan mandi sungai. Kemudian, semua peserta diarahkan berkumpul untuk makan tengah hari. Selepas itu, semua peserta perlu berkumpul dan melihat cara-cara memasak nasi, telur, roti bakar dan juga sardin menggunakan buluh kerana selepas itu, para peserta sendiri akan menjalankan aktiviti tersebut yang dinamakan survival. Setiap kumpulan diberikan tiga biji telur, sebatang buluh dan juga 2 batang mancis untuk memasak. Setiap kumpulan dikehendaki mencari tempat yang sesuai untuk memasak. Seterusnya, setiap kumpulan perlu berusaha menyalakan api dan memulakan untuk memasak telur itu. Akhirnya, semua kumpulan berjaya memasak dan dibenarkan minum petang.
Pada pukul 6.30petang, semua peserta selamat pulang di kawasan kem dan dibenarkan membersihkan diri. Kemudian, makan malam disediakan. Selepas itu, para peserta berbincang bersama ahli kumpulan untuk malam kebudayaan. Pada pukul 9 malam, malam kebudayaan dimulakan. Semua kumpulan membuat persembahan yang menarik pada malam itu. Tema malam kebudayaan pada malam itu ialah “alam sekitar”. Pada pukul 12 tengah malam, malam kebudayaan tamat dengan jayanya.
Hari Ketiga : 1 April 2012 (Ahad)
Pada hari ketiga, 1 April 2012. Semua peserta bangun awal dan bersiap untuk latihan kawad. Semua peserta memakai pakaian uniform yang lengkap dan membuat latihan kawad masing-masing. Pada pukul 8pagi,semua dikehendaki berkumpul di padang dengan uniform yang lengkap untuk pertandingan kawad, Encik Nazuha telah member sedikit taklimat dan para peserta bergerak ke kawasan pertandingan untuk pertandingan kawad. Pada pukul 8.30 pagi, pertandingan dimulakan dan setiap unti membuat kawad masing-masing. Pegawai akan menilai setiap unit untuk pertandingan. Selesai pertandingan kawad, para peserta berkumpul di padang. Taklimat telah diberikan oleh Encik Jafny dan para peserta dibenarkan mandi sungai. Para peserta menukar pakaian yang sesuai dan berkumpul di padang.
 
Pada pukul 11.30 pagi, semua peserta balik ke dorm dan khemah masing-,asing untuk bersiap. Selepas itu, peserta dikehendaki mengemas semua barang dan meletakkan beg di tempat yang sesuai. Pada pukul 12.30 tengah hari, siren dibunyikan menandakan para peserta perlu berkumpul di dewan terbuka dan taklimat ringkas oleh Encik Nazuha untuk acara penutupan diberikan. Selepas itu, Majlis Penutupan berlangsung di dewan terbuka. Penyampaian hadiah kepada para pemenang diberikan. Pertandingan kawad telah dimenangi oleh St. John untuk tempat pertama, tempat kedua ialah Kadet Polis dan tempat ketiga ialah Pengakap. Untuk malam kebudayaan dan kumpulan terbaik dimenangi oleh kumpulan enam. Pada pukul 2.30 petang, semua peserta menaiki bas untuk pulang ke sekolah dan selamat tiba di sekolah pada pukul 4.30 petang. 
   



TAHNIAH SEAFIELD
SEMOGA BERJAYA
1SEAFIELD 1MALAYSIA

No comments:

Post a Comment