Friday, April 20, 2012

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN STPM 2011

TAHNIAH DAN SYABAS
Eric Ong Yan Kai
PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN STPM 2011 
Eric Ong Yan Kai merupakan anak kedua daripada 3 beradik.    Pernah bersekolah di SJK(C) Lick Hung. Semasa belajar di sekolah  tersebut, pendidikan memainkan peranan yang kecil dalam     hidupnya. Sebaliknya, dia mempunyai minat dalam syarahan dan nyanyian. Dalam tempoh itu, dia banyak menyertai kedua-dua pertandingan tersebut. Penyertaan pertandingan ini telah        meningkatkan keyakinan dirinya. Dalam peperiksaan awam UPSR, dia telah memperolehi 5A dan 2B. Selepas tamat pendidikan    rendah, dia meneruskan pelajarannya di SMK USJ 12. Minatnya dalam pelajaran pada masa ini  masih kurang, namun dia mempunyai minat dan aktif dalam Kelab Bimbingan dan Kaunseling. Semasa berada tingkatan dua, dia dipilih menjadi pengerusi kelab tersebut. Di samping itu, dia mula  menunjukkan minat dalam mata pelajaran matematik. Minatnya dibuktikan dalam pencapaian       peperiksaaannya di tingkatan 3, iaitu berjaya mengekalkan  keputusan  100 markah bagi mata pelajaran matematik. Jelaslah bahawa minatnya cenderung kepada mata pelajaran sains dan matematik. Dia memperolehi keputusan 6A dan 2B dalam PMR.

Selepas peperiksaan PMR, dia mendapati bahawa keputusannya telah        mengecewakan bapanya. Oleh itu, dia berusaha dengan gigih dengan matlamat yang baru dalam hidupnya iaitu untuk membanggakan keluarganya. Dia berusha mengatasi mata  pelajaran yang lemah seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Cina. Usahanya telah membawa hasil apabila mencapai 8A+, 2A, 1A- dan 1C+ dalam SPM. Dalam aspek kokurikulum, dia kekal aktif dalam Kelab Bimbingan Dan Kaunseling. Semasa di tingkatan 5, dia sekali lagi dipilih menjadi pengerusi  bagi kelab tersebut memandangkan dedikasinya dalam menjalankan tugas yang diberi.

Walaubagaimanapun, dia tidak mendapat biasiswa untuk melanjutkan           pelajarannya selepas SPM dan mengambil keputusan memasuki tingkatan 6. Dalam tingkatan 6, dia menjadi lebih matang. Dia mempunyai perspektif positif dalam hidupnya. Selain itu, kebolehannya menguruskan masa dengan berkesan membantunya menangani kurikulum dan kokurikulum dengan baik. Dia dipilih menjadi pengerusi dalam Kelab Catur, Scrabble dan Sudoku. Dia juga merupakan ketua karnival kelasnya dan mengusahakan gerai dengan bantuan rakan-rakannya. Dengan sikap yang positif dan usahanya, dia telah berjaya memperolehi 3A dan 1B+ dalam STPM. Ini telah membanggakan keluarganya.
Semasa berada di  tingkatan 6 pelbagai cabaran yang telah ditempuhinya dan dia telah mengatasinya dengan dorongan keluarganya, guru-gurunya dan Tuhan. Dia memegang kepada moto hidup iaitu “Dengan Keupayaan Diri, Kita Boleh Jalan Satu Batu, Manakala Dengan Tuhan, Kita Boleh Jalan Lebih Daripada Jangkaan Sendiri.” Moto adalah perangsang dalam hidup kerana dia tahu bahawa Tuhan senantiasa menemaninya dalam mengatasi pelbagai cabaran.

1 comment: