Thursday, April 28, 2011

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK 2011

Program : Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2011
Tarikh : 28 April 2011
Tempat : Dewan Seri Kenangan
Dirasmikan oleh : En. Mohd Salleh Bin Mohd Kassim, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA PELAJAR-PELAJAR YANG MENERIMA ANUGERAH CEMERLANG PADA HARI INI.

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN PMR 2010
               
Yeo Xin Jie dilahirkan pada 24 September 1995 dan merupakan anak bongsu dalam keluarga. Beliau mempunyai dua orang kakak dan seorang abang yang merupakan pelajar sekolah ini. Beliau menerima pendidikan awal di SJK(C) Lick Hung sebelum meneruskan pelajaran di SMK Seafield. Beliau bepegang teguh pada falsafah “rajin usaha tangga kejayaan” dan “yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang”.
Sejak di bangku sekolah, beliau berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pelajarannya. Berkat titik peluhnya, beliau berjaya mencapai keputusan yang membanggakan, iaitu 7A dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2007 dan 8A dalam peperiksaan PMR pada tahun 2010.
Selain bidang akademik, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Beliau telah menyandang jawatan Pengurus Lembaga Koperasi sejak Tingkatan 1 sehingga sekarang. Beliau juga merupakan wakil tingkatan dalam unit beruniform Pandu Puteri dan ahli jawatankuasa dalam Persatuan Bahasa Cina. Beliau pernah mewakili sekolah untuk menyertai pertandingan kuiz pengetahuan am secara berkumpulan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dan muncul sebagai juara.
Aktiviti yang digemari beliau ialah membaca buku cerita untuk memanfaatkan waktu senggang di samping mendengar muzik. Beliau bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang akauntan yang berjaya.
Sesungguhnya, keputusannya yang cemerlang dalam bidang akademik berakar umbi daripada guru-guru yang berdedikasi selain sokongan moral daripada ahli keluarga dan sahabat handai. Justeru, ribuan terima kasih beliau rakamkan kepada semua pihak berkenaan. Kejayaan yang dikecapi merupakan hasil iltizam semua pihak. Beliau bertuah kerana dikurniakan anggota keluarga yang menjadi tiang semangat kepada beliau. Beliau juga berharap agarmemperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM dan seterusnya berjaya merealisasikan visi beliau selama ini.





PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN SPM 2010


            Pragaash A/L Ponnusamy dilahirkan pada 11 Februari 1993 dan merupakan anak kedua dalam keluarga.  Beliau mempunyai seorang abang yang juga merupakan bekas pelajar SMK Seafield dan kini belajar perubatan di Universiti Manipal di India, dan seorang orang adik perempuan yang sedang belajar di SRK USJ 2.  Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Sri Subang Jaya sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Seafield. Semasa beliau berada di bangku sekolah, beliau berusaha gigih dalam pelajarannya.  Hasil usahanya, beliau berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR, dan 7A dalam peperiksaan PMR 2008. Namun, beliau sentiasa mencerminkan dirinya sebagai seorang yang rendah diri dan berpegang teguh kepada ungkapan kata hikmah bahawa “Kejayaan adalah anugerah Tuhan, dan kegagalan adalah lumrah kehidupan”. Dengan usaha yang konsisten, beliau mencatatkan 11A+ dalam peperiksaan SPM 2010.  Keputusannya yang cemerlang berakar umbi daripada guru-guru yang dedikasi dan cemerlang, selain sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya.  Oleh itu, beliau ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru, ahli keluarga dan rakan-rakannya yang telah memberi dorongan dan sokongan dalam membantunya mencapai kecemerlangan.

Selain bidang akademik, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.  Beliau telah menyertai Lembaga Pengawas sejak Tingkatan 1.  Pada ketika itu, beliau telah melaksanakan segala tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi. Malah, pada tahun 2009, beliau telah menyumbangkan tenaganya dalam menjayakan Majlis Hari Guru dan juga dalam badan teknikal Lembaga Pengawas.  Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Kelab F1 dan Setiausaha Kelab Robotik pada tahun 2010.  Potensi beliau dalam menjamin keseimbangan dari segi akademik dan kokurikulum terserlah apabila beliau merangkul tempat ke-empat dalam Pertandingan Robotik Nasional 2010.  Beliau juga  pernah merupakan seorang ahli Pengakap yang berjaya memperoleh kelulusan lencana Usaha di samping merupakan pemegang tali Blue Senior dalam Persatuan Taekwondo.  Pada tahun 2008, beliau merupakan jurugrafik dalam Sidang Redaksi yang telah berjaya mendapat penghargaan daripada semua apabila hasil grafiknya terpilih sebagai muka depan majalh Minda SMK Seafield.  Semetelahan itu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Editor bagi Sidang Redaksi sekolah. Di luar sekolah pula, beliau pernah bergiat dalam Junior Eco Community di bawah Malaysian Nature Society dalam menyumbang kepada alam sekitar.

Sejak kecil, beliau amat cenderung terhadap bidang sains dan matematik.  Beliau giat aktif mewakili sekolah dalam menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Berkat usaha dan dorongan guru serta rakannya, beliau berjaya mendapat Bronze Certificate dalam Pertandingan Fizik Kebangsaan dan juga Certificate of Distinction dalam Kuiz Kimia Kebangsaan.  Selain itu, beliau juga telah mewakili sekolah dalam Sunway A-level Maths & Logic Challenge, Taylor’s Engineering ‘CO2’ Car Competition, Australian Mathematics Competition dan sebagainya. Dari kaca mata bidang kokurikulum pula, beliau telah mewakili sekolah dalam Kejohanan Hoki peringkat Daerah, CIMB Junior Scrabble Circuit, dan sebagainya.
Semasa waktu lapang, Pragaash suka melayari Internet untuk mendapatkan insipirasi dan idea untuk kegiatan grafiknya, di samping mendengar lagu. Beliau juga sentiasa mambaca hasil nukilan ramai penulis untuk memperkaya pengetahuannya. Cita-citanya adalah untuk menjadi seorang jurutera mekanikal dan sains komputer yang berjaya.  Demi mencapai cita-cita ini, beliau akan terus berusaha dengan gigih dalam merealisasikan wawasannya



               PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN STPM 2010
                                
Ivy Chang atau nama penuh Chang Wei Zhi merupakan bekas Ketua Tingkatan 6 Amanah SMK Seafield. Beliau dilahirkan pada 9 Mac 1991 dan merupakan anak sulung dalam keluarganya. Beliau memulakan pelajarannya sejak 2 tahun setengah di Kuching, Sarawak. Sejak kecil, beliau menunjukkan minatnya dalam muzik. Semasa mendapatkan pendidikan awal di SJK(C) Lick Hung, beliau sering melibatkan diri dalam pertandingan nyanyian dan memperoleh kemenangan yang amat membanggakan. Beliau mula bermain piano pada usia 9 tahun. Dengan bakatnya yang sedia ada, kerjaya penyanyi menjadi impian beliau. Namun demikian, impian kanak-kanak tidak kekal selamanya.
Selepas tamat persekolahan di SJK(C) Lick Hung dengan keputusan 7A dalam peperiksaan UPSR, beliau meneruskan pelajarannya di SMK USJ 12. Kegigihannya dalam pelajaran telah membolehkan beliau mencapai 8A dalam PMR 2006 dan 10 A1,1 B3 dalam SPM 2008. Walaupun beliau hanya mendapat B3 dalam Bahasa Cina, beliau tidak pernah menyesal untuk mengambil peperiksaan tersebut dalam SPM. Selain daripada pencapaian academik, beliau mula melibatkan diri dalam olahraga semasa Tingkatan 4. Antara kejohanan yang memperoleh kemenangan ialah Kejohanan Larian Jubli Emas MSSS, Kejohanan Olahraga 4X400M MSSD, Kejohanan Merentas Desa MSSD dan lain-lain lagi.
  Pilihan program pengajian lepasan SPM merupakan keputusan yang sukar ditentukan memandangkan Wei Zhi masih tidak dapat menentukan hala tujunya. Atas nasihat ibu bapa, Tingkatan 6 menjadi pilihan utama beliau memandangkan STPM yang diakui di peringkat antarabangsa merangkumi skop yang lebih mendalam dan luas serta lebih mencabar daripada pendidikan pra-universiti yang lain. Sepanjang dua tahun di SMK Seafield, beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malahan dalam aspek kokurikulum. Selain memberi perhatian dalam kelas, meminta tunjuk ajar guru-guru dan rakan, beliau mengamalkan prinsip untuk mengulangkaji sekurang-kurangnya 3 jam sehari. Beliau merupakan Ketua Tingkatan kelas, Naib Pengerusi kelab Sains dan Matematik, Setiausaha kepada Sixth Form Council dan ahli aktif dalam kelab Ping Pong. Sebagai seorang pelajar yang penuh dedikasi, beliau dianugerahkan ‘Pelajar Terbaik dalam Bidang Kimia’ semasa tingkatan enam bawah. Di samping itu, beliau mencapai High Distinction Award di University of News South Wales Australia International Mathematics Competition. Beliau juga mengambil bahagian dalam Kuiz Kimia Kebangsaan Malaysia anjuran Institut Kimia Malaysia. Di peringkat sekolah, kerjasama antara Wei Zhi dengan ahli kumpulannya telah menjadikan mereka johan dalam pertandingan Pameran Terbaik sempena Minggu Sains dan Matematik. Beliau turut melibatkan diri dalam Pertandingan Buku Skrap Maklumat Kerjaya serta Pertandingan Kuiz Kerjaya anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling serta Kelab Kerjaya. Dalam bidang sukan pula, beliau telah mengambil bahagian dalam Larian MPSJ-NST 10 KM dan Olymic Day Run 2010. Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti Community Health Care Programme anjuran St. John Ambulance Malaysia dan International MIRACLE Youth Conference anjuran AIESEC UPM. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan pelajar Tingkatan 6 adalah amat mencabar. Wei Zhi hampir melepaskan hasratnya untuk mendapat 4A dalam STPM disebabkan keputusan peperiksaan yang sentiasa kurang memuaskan. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah putus asa dan terus berusaha agar tiada kekesalan dalam skop yang dipilihnya. Dengan sokongan ahli keluarga, guru-guru dan rakan-rakan serta usaha yang berterusan, akhirnya beliau memperolehi 4A dalam STPM. Dengan ini, beliau ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendorongnya dalam usaha mencapai kecemerlangan. Apa yang diharapkan, menjadi seorang pakar Ortodontik yang berjaya satu hari nanti.


PELAJAR SEMUA A+ SPM 2010 SMK SEAFIELD

WILLIAM NGEOW 10A+
FENG WAI YI 10A+

PRAGAASH 11A+
LIM SHIN YING 10A+
BERSAMA PN ROSLINA AHMAD PK HEM

TAHNIAH DAN SYABAS


1 comment: