Thursday, April 29, 2010

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN SPM 2009

TAHNIAH



YEO Yih Tang dilahirkan pada 7 November 1992 dan merupakan anak kedua dalam keluarga.  Beliau mempunyai seorang kakak yang juga merupakan bekas pelajar SMK Seafield dan kini belajar A-level di USCI University di bawah tajaan JPA, dan dua orang adik perempuan yang sedang belajar di SMK Seafield.  Beliau mendapat pendidikan awal di SJK(C) Lick Hung sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Seafield.
Semasa beliau berada di bangku sekolah, beliau berusaha gigih dalam pelajarannya.  Hasil usahanya, beliau berjaya memperoleh 7A dalam peperiksaan UPSR, dan 8A dalam peperiksaan PMR 2007.  Beliau juga telah dianugerahkan sebagai salah seorang Brand’s High Achiever 2007. Dengan usaha yang konsisten, beliau mencatatkan 12A+ dalam peperiksaan SPM 2009.  Keputusannya yang cemerlang berakar umbi daripada guru-guru yang dedikasi dan cemerlang, selain sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya.  Oleh itu, beliau ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru, ahli keluarga dan rakan-rakannya yang telah memberi dorongan dan sokongan dalam membantunya mencapai kecemerlangan.
Selain bidang akademik, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.  Beliau telah menyertai Lembaga Koperasi sejak Tingkatan 3 dengan jawatan Pengurus IT.  Pada masa itu, beliau bertanggungjawab untuk menghasilkan persembahan PowerPoint untuk sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah untuk dua tahun berturut-turut. Pada tahun 2009, beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga Koperasi yang bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan koperasi.  Selain itu, beliau juga merupakan Setiausaha Persatuan Bahasa Cina pada tahun 2009.  Beliau bersama dengan AJK Persatuan Bahasa Cina telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke Yeo’s Factory, Cemerlang Publications dan Negeri Sembilan.  Beliau juga merupakan seorang ahli St. John Ambulans dan berjaya memperoleh kelulusan ujian pertolongan cemas peringkat dewasa.  Pada tahun 2007 dan 2008, beliau merupakan jurugambar bagi Sidang Redaksi sekolah.   Di luar sekolah pula, beliau merupakan wartawan murid bagi akhbar Nanyang Siang Pau yang aktif melaporkan aktiviti-aktiviti yang diadakan di sekolah.
Sejak kecil, beliau telah menunjukkan minat yang kuat dalam bidang sains dan matematik.  Beliau giat aktif mewakili sekolah dalam menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.  Kejayaannya yang paling bermakna adalah semasa beliau bersama ahli kumpulannya muncul sebagai Johan dalam Taylor’s Science Competition dan Kuiz Pintar Matematik anjuran MSU College.  Selain itu, beliau juga telah mewakili sekolah dalam Taylor’s Accounting Quiz, KDU College Pre-U Math and Science Quiz, HELP University College Math Marathon, Sunway A-level Maths & Logic Challenge, Pertandingan Olympiad Matematik dan sebagainya.  Beliau juga mendapat Bronze Certificate bagi Pertandingan Fizik Kebangsaan dan Certificate of Distinction bagi Kuiz Kimia Kebangsaan.
Semasa waktu lapang, Yih Tang suka melayari Internet untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini, di samping mendengar lagu.  Cita-citanya adalah untuk menjadii seorang jurutera elektrik dan elektronik yang berjaya.  Untuk mencapai cita-cita ini, beliau akan terus berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menuju ke arah wawasannya.

No comments:

Post a Comment