Friday, April 20, 2012

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN SPM 2011

TAHNIAH DAN SYABAS

     PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN SPM 2011
     
Yeo Xin Ying dilahirkan pada 22 Februari 1994 dan merupakan anak ketiga daripada 4 beradik. Kakak beliau mengambil kursus pergigian di University of Glasgow di bawah tajaan JPA. Manakala abangnya pula mengikuti kursus kejuruteraan di University of Toronto, juga di bawah tajaan JPA.  Adik perempuan pula, sedang belajar di Tingkatan 5 di SMK Seafield. 

Beliau mendapat pendidikan awal di SJK(C) Lick Hung sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Seafield. Semasa beliau berada di bangku sekolah, beliau sudah menunjukkan minat dalam pelajarannya. Berkat usaha gigihnya, beliau berjaya memperoleh 7A dalam peperiksaan UPSR 2006, dan 8A dalam peperiksaan PMR 2009. Dengan usaha yang konsisten, beliau mencatatkan 12A+ dalam peperiksaan SPM 2011 sekaligs mendapat Anugerah Kecemerlangan SPM 2011 peringkat Negeri Selangor. Keputusannya yang cemerlang berakar umbi daripada guru-guru sekolah yang dedikasi dan cemerlang, selain sokongan padu daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya. Oleh itu, ribuan terima kasih diucapkan kepada guru-guru, ahli keluarga dan rakan-rakan yang telah memberi dorongan dan sokongan moral dalam membantu mencapai kecemerlangan ini.

Selain bidang akademik, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.   Beliau telah menyertai Lembaga Koperasi sejak Tingkatan 1 dengan memegang jawatan sebagai Pengurus Koperasi. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengurus Sesi Petang Koperasi pada tahun 2008. Pada tahun 2011, beliau menjadi Pengerusi Lembaga Koperasi yang bertanggungjawab untuk mengendalikan hal ehwal yang berkaitan dengan Koperasi. Selain itu, beliau juga merupakan Setiausaha Persatuan Bahasa Cina pada tahun 2011 dan berjaya menganjurkan lawatan sambil belajar ke Royal Selangor, Muzium Orang Asli dan One fm di Kuala Lumpur bersama dengan AJK Persatuan Bahasa Cina yang lain. Di luar sekolah pula, beliau merupakan wartawan murid bagi akhbar Nanyang Siang Pau yang aktif melaporkan aktiviti-aktiviti yang diadakan di sekolah.

Beliau turut melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan khususnya bidang sains dan matematik. Beliau mendapat hadiah saguhati dalam Peraduan Matematik Piala Hua    Lo-Keng (Kumpulan Menengah Atas). Beliau juga mendapat Certificate of Distinction bagi Australian Mathematics Competition dan Certificate of High Distinction bagi Kuiz Kimia   Kebangsaan.

Pada masa lapang, Xin Ying suka membaca buku-buku ilmiah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, di samping mendengar lagu pada masa senggang. Cita-citanya adalah menjadi pakar bedah. Untuk mencapai cita-citanya, beliau akan terus berusaha  bersungguh-sungguh untuk mencapai wawasannya.

No comments:

Post a Comment