Saturday, August 14, 2010

TAHNIAH ! PELAJAR WAWASAN SEAFIELD 2010

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Muhammad Danial bin Mohd Zian yang telah dianugerahkan sebagai Pelajar Wawasan SMK Seafield dan Anugerah Khas Pengetua sempena Majlis Kecemerlangan Kokurikulum pada :

Tarikh : 5 ogos 2010
Masa : 2.00 petang
Tempat : Dewan Seri Kenangan

Danial membaca doa pada setiap perhimpunan pagi & Sukan Tahunan di Padang MPSJ
  

Gambar diambil semasa perasmian Bulan Perayaan Kemerdekaan peringkat sekolah pada 9 Ogos
  

Muhammad Danial bin Mohd Zian dilahirkan pada 6 Januari 1993. Anak kelahiran Johor ini merupakan anak kepada Encik Mohd Zian Johari yang pernah bertugas sebagai ketua pengarang Berita Harian sebelum kini bertugas sebagai pengarang akhbar Transisi. Ibunya, Armizar binti Ariffin bekerja sebagai seorang kerani di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Danial Zian menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan USJ 2 selama 6 tahun sejak 2000 hinggalah 2005. Selama berada di sekolah rendah, beliau terlibat secara aktif terutamanya dengan aktiviti pasukan pengakap sekolah dan lembaga pengawas. Beliau berkhidmat sebagai seorang pengawas sejak akhir darjah 3 sehinggalah darjah 6 dan pada tahun akhir perkhidmatan, telah diberi kepercayaan menjadi Ketua Pengawas. Beliau juga menjadi pengerusi projek PIBG pertama sekolah tersebut dengan mengumpul dana bagi membina taman refleksologi. Selain itu, beliau turut menyertai pertandingan seperti marhaban, berpidato dan berpantun. Akhir sekali, beliau mendapat keputusan 5A dalam UPSR serta dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Tahun 2005 peringkat sekolah.

Pada tahun 2006, beliau meneruskan persekolahan menengahnya di SMK Seafield. Pada yang tahun sama, beliau telah menyertai Pertandingan Syarahan Agama Peringkat Zon dan mendapat keputusan Johan. Namun demikian, beliau hanya mendapat tempat ke-4 pada peringkat daerah.

Semasa berada di Tingkatan 2, beliau menjadi seorang pengawas percubaan dengan cadangan seorang guru disiplin. Malah, beliau turut melibatkan diri dengan Kid Witness News, sebuah pertandingan videografi peringkat kebangsaan. Pada tahun tersebut juga, beliau terpilih menyertai pasukan Drama Bahasa Inggeris sekolah dan mendapat tempat kedua. Kemenangan ini melayakkan pasukan SMK Seafield mara ke peringkat daerah tetapi tidak mendapat apa-apa tempat.

Beliau bukan sahaja terlibat secara aktif di dalam sekolah malah di luar sekolah. Beliau merupakan ahli aktif rukun tetangga, melibatkan diri dengan aktiviti gotong-royong dan sebagainya. Beliau juga pernah menyertai pertandingan video anjuran Jerneh Insurance peringkat kebangsaan dan mendapat Johan kategori A, iaitu kategori sekolah menengah. Beliau juga telah berkhidmat bagi MSSM Aquatik peringkat kebangsaan dan juga ASEAN sebagai AJK Publisiti dan Seranta.


Antara pertandingan lain ialah Pertandingan Kereta Solar dan Pertandingan Forum Remaja di mana kedua-duanya menempah tempat ketiga. Beliau juga terlibat dengan Pertandingan Drama Bahasa Inggeris pada tahun 2007 dan 2009. Kedua-dua tahun tersebut, beliau berjaya mendapat tempat kedua pada peringkat Zon dan mewakili zon pada peringkat daerah. Namun demikian, pencapaian yang paling membanggakan beliau ialah Pertandingan Syarahan Agama kerana pada tahun 2010, beliau merupakan pelajar Seafield pertama yang layak sehingga peringkat negeri Selangor. Pertandingan ini telah beliau sertai sejak tingkatan satu hinggalah tingkatan lima. Biarpun beliau tidak memenangi apa-apa hadiah pada peringkat tersebut, hal ini patutnya dijadikan inspirasi bagi Seafield terus menempah nama terutamanya dalam syarahan agama.

Sejak tahun 2007 juga, Danial Zian merupakan seorang pengawas sekolah. Sejak awal juga, beliau telah diberikan kepercayaan untuk membaca doa pada setiap perhimpunan sehinggalah lanjut ke sesi pagi. Beliau juga turut berjinak-jinak untuk terlibat kemahiran PA dan teknikal. Pada pertengahan tahun 2009, beliau telah berkempen untuk menjadi seorang ketua pengawas. Berkat usaha gigih dan sokongan semua pihak, beliau tetap menjadi Penolong Ketua Pengawas bagi sesi 2009/2010 dan terus berusaha membantu Lembaga Pengawas meningkatkan nama baik sekolah. Beliau juga merupakan pengerusi Kadet Bomba serta Naib Pengerusi Kelab Kerjaya.

Beliau merupakan seorang yang gigih dan tidak putus asa biarpun kadangkala banyak rintangan dan halangan yang dihadapi. Pengurusan masa juga sangat penting terutamanya apabila sibuk dengan tanggungjawab yang diamanahkan. Oleh itu, sokongan keluarga, guru dan rakan-rakan sangat penting bagi menghadapi semua masalah. Beliau berpegang kepada prinsip “Tanpa kegagalan, tiadalah kejayaan”.
MURIDKU ANAKKU SAYANG
sehari dalam sejarah
tss@seafield


No comments:

Post a Comment