Thursday, April 29, 2010

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN PMR 2009

TAHNIAH
 Malisa Shereen binti Mohd. Saifuzzaman telah dilahirkan pada tanggal 4 Ogos 1994. Anak kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan anak ke-2 daripada 4 beradik. Bapa beliau, Mohd Saifuzzaman bin Hoesni merupakan seorang jurutera manakala ibu beliau, Khairiah binti Rahmat seorang guru. Beliau bercita-cita menjadi seorang doktor pakar kulit yang berjaya.
Hard work is the key to success” merupakan moto kejayaan Malisa Shereen. Kejayaan yang diperoleh merupakan hasil usaha gigih yang konsisten dan berterusan. Selain itu, beliau berpegang kepada prinsip bahawa doa, usaha, istiqamah dan tawakal merupakan elemen penting untuk mencapai kejayaan.
Malisa Shereen merupakan seorang pelajar yang dedikasi dan bertanggungjawab. Beliau telah memegang jawatan Pengawas Sekolah sejak Tingkatan 1 sehingga sekarang. Beliau menjadi Setiausaha Lembaga Pengawas Sesi Petang semasa di Tingkatan 2. Semasa di Tingkatan 1, beliau telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi Setiausaha Persatuan Agama Islam, Naib Bendahari Puteri Islam dan Naib Setiausaha Kelab Bola Tampar. Sifat kepimpinannya terserlah apabila beliau diamanahkan untuk menjawat beberapa jawatan penting semasa di Tingkatan 2 dan Tingkatan 3. Semasa di Tingkatan 2, Malisa Shereen menjawat jawatan Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu dan Persuratan, Pengerusi Kelab Bola Jaring, Naib Pengerusi Persatuan Puteri Islam, Naib Pengerusi Kelab Kemahiran Hidup, Naib Pengerusi Persatuan Agama Islam dan AJK Kelab Bola Tampar. Semasa di Tingkatan 3, beliau telah terpilih untuk memegang jawatan Bendahari Puteri Islam.
Penglibatan Malisa Shereen dalam aktiviti di sekolah tidak dapat dipertikaikan. Malisa Shereen merupakan seorang pelajar yang aktif di sekolah. Beliau terpilih sebagai Tokoh Pelajar MAS (Muridku Anakku Sayang) sesi petang pada tahun 2008. Selain itu, beliau telah mewakili sekolah dalam pertandingan Choral Speaking pada tahun 2008 dan mendapat tempat ke-3. Pada tahun 2009, beliau telah berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan Choral Speaking peringkat zon dan daerah, serta tempat ke-2 di peringkat negeri. Malisa Shereen turut tidak ketinggalan melonjakkan nama SMK Seafield dengan menyertai pertandingan peringkat kebangsaan seperti Pertandingan Menulis Esei Kategori Tunas Pujangga anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia, Sekhar Foundation, Dewan Bahasa dan Pustaka dan British Council pada tahun 2008, Pertandingan Menulis Sajak tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar pada tahun 2009 dan Pertandingan Menulis Esei Sempena Hari Guru pada tahun 2009.
Jutaan terima kasih beliau ucapkan kepada ibu bapa, adik-beradik, pihak sekolah, guru-guru dan rakan-rakan. Kejayaan yang dikecapi merupakan hasil usaha dan komitmen semua pihak. Beliau berasa bertuah kerana dikurniakan ibu bapa dan adik-beradik yang memberi sokongan padu dan menjadi pendorong utama kepada beliau. Beliau juga amat bersyukur kepada Ilahi dan berdoa agar memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM dan seterusnya berjaya merealisasikan impian beliau selama ini.




No comments:

Post a Comment