Thursday, September 16, 2010

JOHAN ESEI KATEGORI MENENGAH RENDAH

JOHAN (kategori menengah rendah)
Tajuk Esei : Penghayatan mata pelajaran Sejarah dapat menjana Satu Malaysia
Nama : Yeo Xin Jie
Tingkatan : 3 Kukuh

“Dari runtuhnya kesinambungan Kota Melaka,

Kehebatan Putrajaya bersatu kita dirikan;

Sejarah melakar detik silam negara,

Gagasan Satu Malaysia mampu dijana”.

Menurut Kamus Dewan, sejarah ditakrifkan sebagai peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Ciri-ciri sejarah merangkumi fakta yang tepat dan benar, penting dan bermakna, serta mempunyai sebab dan akibat. Arkeologi dan antropologi merupakan cabang sejarah yang penting untuk membuat tafsiran. Satu Malaysia pula merangkumi aspirasi yang menekankan tiga teras utama, iaitu penerimaan, kenegaraan, dan keadilan sosial. Melalui pendidikan sejarah, hasrat murni Satu Malaysia bukan omongan kosong lagi.

Sejarah bertujuan memberikan iktibar yang bermanfaat kepada masyarakat madani kerana mempunyai makna yang tersirat di sebalik peristiwa. Generasi muda berpeluang menimba teladan daripada lipatan sejarah sebagai pedoman hidup dan sekaligus diterapkan sikap berwaspada terhadap anasir luar bagi menjayakan matlamat negara. Tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 mengajarkan kita peri penting untuk memelihara kesejahtaraan rakyat agar kesilapan pahit tidak berulang lagi.

Selain itu, sejarah merupakan senjata ampuh untuk mewujudkan integrasi nasional yang jitu sebagai teras keutuhan negara. Kepelbagaian kaum dapat disatupadukan untuk menyingsing lengan dalam menjayakan sesuatu usaha atas kesedaran asal usul bangsa sendiri. Pengertian ini sesungguhnya menanamkan bibit-bibit persefahaman dan sekaligus mengikis perasaan syak wasangka. Dengan ini, isu-isu sensitif dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah yang dahsyat berkat permuafakatan rakyat. Bak kata peribahasa “Bersatu teguh, becerai roboh”. Tegasnya, Satu Malaysia mampu direalisasikan berkat toleransi rakyat.

Seterusnya, nasionalisme dapat tersemai dalam sanubari rakyat menerusi penghayatan sejarah. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selaku Ketua Menteri bertungkus lumus menuntut kemerdekaan negara dan berjaya membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan selama 446 tahun. Pemahaman tentang keperitan untuk mencapai kemerdekaan negara menyedarkan kita agar menghargai nikmat yang dikecapi. Pendek kata, sejarah dapat melahirkan jati diri untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada anasir luar.

Akirnya, sejarah juga mampu dijadikan kunci kejayaan individu. Tokoh perjuangan seperti Antanom dan Rentap yang berani mengalirkan keringat dan bermandikan darah demi menegakkan maruah bangsa wajar dicontohi. Slogan ‘Malaysia Boleh’ seakan-akan suntikan semangat untuk menggondol kemenangan. Jelaslah sejarah bukan sahaja memupuk nilai kesyukuran, malahan kekaguman ini memberangsangkan seseorang merintis kejayaan dalam hidup.

Natijahnya, kepentingan sejarah dalam merealisasikan Satu Malaysia tidak dapat disangkal. Langkah Kementerian Pelajaran yang mewajibkan pengambilan mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan PMR dan SPM sejak tahun 1993 mesti disokong. Tanpa sejarah, manusia umpama kehilangan akar umbi, apatah lagi melahirkan pelapis pemimpin negara yang berkarisma menjelang Wawasan 2020. Y.A.B Dato Seri Dr Mahathir pernah mengatakan “Bangsa yang agung ialah bangsa yang mahu mempelajari sejarah.”

(399 patah perkataan)

Terima kasih kepada cikgu Mohana Raju, cikgu Norhayati Mohamad dan cikgu Yusdin dalam membantu untuk menjayakan pertandingan esei sempena sambutan Bulan Patriotik dan Kemerdekaan 2010.
selamat maju jaya
tss@seafield

No comments:

Post a Comment