Wednesday, September 15, 2010

JOHAN ESEI "SUBJEK SEJARAH MENJANA 1MALAYSIA"

KATEGORI MENENGAH ATAS
JOHAN
Tajuk : Penghayatan mata pelajaran Sejarah dapat menjana Satu Malaysia.  Berikan  pendapat anda tentang pernyataan ini.
Nama : Yeo Xin Ying
Tingkatan : 4 Budi

Pada zaman pascakemerdekaan ini, sejarah telah menjadi mata pelajaran yang wajib diambil dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Secara umumnya, sejarah merakamkan peristiwa zaman silam berdasarkan kajian dan penyelidikan yang berasaskan fakta yang tepat dan bukti yang kukuh. Menurut Buku Teks Sejarah Tingkatan 1, istilah sejarah berasal daripada perkataan syajaratun yang bermaksud pohon atau pokok, riwayat, salasilah, keturunan dan asal usul. Mahatma Gandhi pernah berkata, “Segala-galanya bermula dengan diri sendiri.” Sebagai rakyat Malaysia, kita memang tidak dapat menafikan bahawa penghayatan sejarah dapat menjana Satu Malaysia.

Satu Malaysia yang bercogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ telah dilaksanakan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum berteraskan nilai-nilai penting. Konsep ini memerlukan komitmen semua pihak untuk merealisasikan aspirasi kerajaan untuk membentuk bangsa Malaysia yang unik. Datuk Seri Najib Razak pernah berkata, “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Kita juga mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.” semasa melancarkan gagasan Satu Malaysia. Dengan menghayati sejarah, kita dapat memahami kebudayaan, falsafah hidup dan asal usul kaum lain secara lebih mendalam. Kita seharusnya hidup bersama secara aman dan bekerjasama seperti ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’ tanpa mengira agama, bangsa dan budaya untuk mengelakkan rusuhan kaum. Upacara menaikkan bendera dan laungan “MERDEKA” oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 juga boleh dijadikan semboyan perpaduan. Tegaslah bahawa penghayatan sejarah mewujudkan semangat kekitaan yang berasaskan sikap toleransi dan membawa kepada kepesatan pembangunan negara kita selaras dengan Wawasan 2020.

Selain itu, penghayatan sejarah juga memberikan iktibar kepada kita supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan. Menurut George Santayana, “Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.” Melalui pembelajaran sejarah, kita dapat mengimbas kembali kisah benar yang telah berlaku apabila negara kita berada di bawah penjajahan pihak British. Sejarah banyak memberikan kita teladan dan pengajaran terutamanya dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua serta mengajar kita supaya bersikap lebih berhati-hati dalam menangani cabaran dunia globalisasi. Kita juga dapat menyedari kesan kedahsyatan peperangan dan  menekankan kedamaian sosial dalam kehidupan seharian seperti yang dilakukan oleh Asoka dalam menjalankan penaklukan selepas Perang Kalinga.  Bak kata pepatah ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’, perbalahan antara negara tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak. Peperangan banyak membawa penderitaan yang berpanjangan, kematian dan kehilangan harta benda kepada penduduk setempat. Oleh itu, penghayatan sejarah membolehkan generasi kini mencintai keamanan dan merangka wawasan masa hadapan dengan lebih berkeyakinan.

Di samping itu,  penghayatan sejarah dapat merangsang kejayaan individu dalam bidang yang diceburi. Tokoh-tokoh sejarah yang berkaliber dan saintis berjaya telah mempengaruhi pemikiran dan perwatakan manusia supaya berusaha ke arah kecemerlangan. Secara tidak langsung, saintis terkenal seperti Albert Einstein, Thomas Alva Edison dan Isaac Newton akan menjadi dorongan kepada generasi muda kini untuk meminati bidang sains. Hasil perasaan kagum terhadap tokoh-tokoh tersebut, maka lahirlah saintis yang berani meneroka dan membawa kemajuan kepada negara dalam era teknologi maklumat. Generasi muda juga dapat menjadikan perjuangan dan kejayaan tokoh-tokoh silam yang berani menentang pihak penjajah sebagai penggerak utama. Dengan menghayati sejarah, keagungan Melayu Melaka pada suatu masa dahulu akan dijadikan perangsang untuk mencapai kemajuan negara. Oleh itu, melalui penghayatan sejarah, kejayaan pemimpin negara mengisi kemerdekaan dengan merancang pembangunan secara sistematik boleh merangsang kita untuk mengejar impian dalam hidup.

            Bukan itu sahaja, semangat patriotisme atau semangat cinta akan tanah air juga dapat dipupuk dalam kalangan generasi kini dengan menghayati sejarah. Sebagai warganegara yang cinta akan tanah tumpah darah, Hari Kebangsaan merupakan tarikh yang amat bermakna kerana menandakan tamatnya era penjajahan asing di negara kita. Keadaan ini juga akan menyebabkan kita lebih mencintai, menyayangi dan bangga terhadap negara kita serta ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan bangsa yang telah maju. Semangat nasionalisme yang berkobar-kobar juga membara dalam hati generasi muda apablia mempelajari latar belakang tokoh pejuang Melayu yang berpegang teguh pada prinsip ‘biar putih tulang, jangan putih mata’. Antara tokoh pejuang nasionalisme yang bangun menentang penjajahan British ialah Dato Bahaman di Pahang, Mat Salleh di Sabah, Tok Janggut di Kelantan dan Dato Maharajalela di Perak. Tanpa mempelajari sejarah, kita mungkin akan lupa bahawa kita sememangnya pernah menempuh suatu zaman keagungan pada masa dahulu. Justeru, perasaan jati diri yang tinggi dapat disemai dan keperibadian bangsa dapat dibentuk dalam jiwa kita melalui penghayatan sejarah.

             Kesimpulannya, sejarah merupakan mata pelajaran kurikulum yang berperanan penting dalam kehidupan kita terutamanya menjana Satu Malaysia. Oleh itu, tindakan kerajaan yang mewajibkan subjek sejarah sehingga tingkatan 5 merupakan keputusan yang bijaksana. Bak kata pepatah ‘bersatu teguh, bercerai roboh’, jadi semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk merealisasikan gagasan Satu Malaysia. Bapa Sejarah, Ibn Khaldun pernah menyatakan bahawa “Sejarah membicarakan tentang masyarakat manusia, atau peradaban manusia, tentang perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat.” Jadi, kita perlu menguasai dan menghayati sejarah kerana tanpa sejarah, kita diibaratkan bangsa yang ketiadaan akar umbi. Marilah kita bersama-sama menghayati dan menjayakan gagasan Satu Malaysia dengan mengamalkan 8 nilai utama bermula dari sekarang juga!
                                     (799 patah perkataan)

No comments:

Post a Comment