Tahniah dan Syabas kepada pemenang pertandingan esei sempena Bulan Sambutan Patriotisme dan Kemerdekaan.
Kategori Menengah Atas :
Tajuk : Penghayatan mata pelajaran Sejarah dapat menjana Satu Malaysia. Berikan pendapat anda tentang pernyataan ini.
Nama : Scott Chung Chin Wei
Tingkatan : 4 Budi
Perkembangan pendidikan dalam pelbagai bidang , terutamanya dalam bidang sains dan teknologi menyebabkan para pelajar lebih berminat untuk memilih untuk mempelajari subjek-subjek yang berteraskan sains dan teknologi. Mereka tidak berminat lagi untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah. Faktor utama yang menyebabkan mata pelajaran Sejarah tidak diminati ialah pelajar terpaksa menghafal dan mengingati tarikh-tarikh dan peristiwa penting yang berlaku. Kebanyakan pelajar mengambil jalan mudah dengan mengabaikan mata pelajaran ini. Namun, bagi merealisasikan gagasan Satu Malaysia yang baru-baru ini dilancarkan oleh Perdana Menteri kita , Datuk Seri Najib Tun Razak, pembelajaran dan penghayatan mata pelajaran Sejarah sebenarnya adalah wajib.
Dengan menghayati mata pelajaran Sejarah , banyak peristiwa yang dapat dijadikan panduan dan pengajaran dalam kehidupan. Peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan catatan hitam dalam sejarah negara kita telah menggugat keamanan dan kestabilan politik di negara ini. Kesan daripada tragedi itu ramai nyawa yang tidak berdosa telah terkorban dan harta benda juga turut musnah.Peristiwa pahit yang dialami negara tidak akan berulang jika masyarakat mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku dan sanggup bertolak ansur dengan semua tanpa mengira bangsa dan agama. Oleh itu , matlamat Satu Malaysia untuk mewujudkan perpaduan antara masyarakat yang berlainan kaum akan tercapai.
Mata pelajaran Sejarah dapat memupuk semangat cinta akan negara. Rakyat yang mempelajari Sejarah akan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai oleh negara. Mereka akan berusaha untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman anasir luar. Mereka tidak mahu lagi keperitan dan kesusahan pada zaman penjajah berulang kembali. Begitu juga, negara yang telah merdeka bebas daripada kekejaman dan penderitaan. Rakyat bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa ditindas oleh orang lain. Keperitan dan kepayahan masyarakat dahulu memperjuangkan kemerdekaan akan disanjung tinggi. Ternyatalah rakyat akan patuh dan setia kepada negara melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah dan seterusnya merealisasikan gagasan Satu Malaysia yang menggariskan nilai kesetiaan.
Mengikut penjelasan Perdana Menteri , seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia , objektif utama gagasan Satu Malaysia adalah untuk kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Penghayatan mata pelajaran Sejarah membolehkan kita membaca tentang masalah perkauman dan perebutan kuasa yang berlaku antara pembesar-pembesar pada zaman Kesultanan Melayu Melaka telah membuka pintu kepada penjejahan imperialis-imperialis Barat selama 446 tahun. Nasib rakyat peribumi tidak terbela dan mereka hidup merana. Oleh itu,sudah tentu masyarakat pada zaman ini tidak menginginkan peristiwa pahit tersebut berulang . Mereka akan berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan bukannya mengikut etnik masing-masing.
Mata pelajaran Sejarah juga membolehkan kita mengetahui kebudayaan dan falsafah hidup rakyat majmuk. Kita mengetahui asal usul pelbagai kaum di Malaysia. Kita juga sedar bahawa pembangunan Malaysia hasil daripada pengorbanan tiga kaum utama. Dengan itu persefahaman yang lebih erat dapat dipupuk. Sikap toleransi antara kaum dapat diwujudkan. Semangat kekitaan dapat dilahirkan. Prasangka antara kaum dapat dielakkan. Semua sikap positif ini haruslah dimiliki oleh setiap rakyat sekiranya gagasan Satu Malaysia mencapai matlamatnya.
Ramai dalam kalangan pelajar sekarang tidak berminat untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah kerana mereka berpendapat bahawa subjek ini membosankan dan susah dipelajari. Tambahan pula, pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran ini dianggap ketinggalan kerana kesukaran melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi serta tidak mampu bersaing dengan pelajar lain apabila ingin mendapatkan pekerjaan nanti, khususnya pelajar yang memilih jurusan Sains dan Matematik. Pada pendapat mereka, mata pelajaran Sains dan Matematik lebih menjamin masa depan dan mudah memperoleh pekerjaan berbanding dengan mata pelajaran Sejarah.
Pelbagai langkah perlu dijalankan agar mata pelajaran Sejarah terus diminati seperti mata pelajaran lain. Misalnya, pelajar-pelajar perlu didedahkan dengan kepentingan mata pelajaran ini dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran selain membawa pelajar melawat tempat-tempat bersejarah agar mereka kembali menyedari bahawa sejarah amat penting dan bukan hanya untuk dipelajari malah dihayati. Golongan remaja dan dewasa perlu dinasihati bahawa mereka yang tidak mempelajari Sejarah menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat patriotik. Oleh itu, mereka tidak menghortmati negara dan tindakan mereka itu boleh menghancurkan impian Perdana Menteri kita untuk menjayakan gagasan Satu Malaysia.
Tuntasnya, mata pelajaran Sejarah harus dihayati untuk menjana Satu Malaysia. Rakyat yang alpa dan tidak mengetahui sejarah menyebabkan mereka akan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang telah berlaku dahulu. Oleh itu, mata pelajaran Sejarah bukan sahaja dipelajari oleh pelajar untuk lulus peperiksaan, malah perlu dihayati untuk kepentingan bersama.
(680 patah perkataan)
Terima kasih
Terbaik!! Terima kasih atas perkongsian ilmu ini. Ia amat membantu saya dalam merancang karangan yang POWER! Hoho
ReplyDelete