Sunday, September 26, 2010

PROGRAM 2 Q SEJARAH PMR 2010

Terima kasih diucapkan kepada En. Mohd Hazli PPD Perdana kerana menjemput guru sejarah SMK Seafield sebagai fasilitator untuk Program 2Q Sejarah untuk PPD Petaling Perdana dan Utama. Kami dua orang guru sejarah telah menerima tanggungjawab yang diamanahkan dan seterusnya berusaha untuk mencari bahan dan idea untuk program ini walaupun hanya diberitahu dua hari sebelum program dilaksanakan.

Daripada maklumat yang diterima, seramai 30 guru sejarah dari PPD Petaling Perdana dan 20 guru sejarah dari PPD Petaling Utama akan dijemput untuk menghadiri program ini. Hal ini juga bermaksud guru sejarah yang dijemput mempunyai latar belakang yang berbeza seperti dari segi pengalaman mengajar sejarah dan sebagainya. Kami perlu fikir bagaimana program ini dilaksanakan supaya ia dapat menarik perhatian guru sejarah dan bersama-sama meningkatkan prestasi sejarah PMR dari segi kuantiti dan kualiti.

Program ini telah dilancarkan dengan berjaya dan mendapat sokongan yang menggalakkan daripada para peserta program 2Q sejarah. Terima kasih kepada Pn Roszaini, PPD Petaling Utama yang sentiasa memberi bantuan kepada kami sepanjang masa program dilaksanakan dan juga terima kasih kepada semua peserta program yang memberi sokongan, kerjasama dan galakkan sepenuhnya sepanjang bengkel dan ceramah dijalankan. Juga tidak dilupakan Pn Rooslina Ahmad yang sentiasa bersama dengan kami untuk membantu menjayakan program ini. Pengalaman baru dan manis ini tidak akan kami lupakan.

Berikut merupakan laporan ringkas dari sudut pendapat sebagai fasilitator program 2Q sejarah :

Tarikh : 23 September 2010
Hari : Khamis
Masa : 8.30 pagi - 12.30 tengah hari.
Tempat : Dewan Inspirasi, PPD Petaling Utama
Pegawai PPD Utama : Pn Roszaini Rahman

Masa : 7.10 - 8.10 pagi
Bertolak dari SMK Seafield dan sampai di PPD utama melalui stadium Kelana Jaya.

Masa : 8.10 - 8.30 pagi
Nampak sudah ada peserta berada di Dewan Inspirasi. Kami berjumpa dengan Pn Roszaini dan memperkenalkan diri sebagai fasilitator hari ini. Kami beritahu akan cuba sedaya upaya untuk menjayakan program hari ini.

Masa : 8.30 - 10.00 pagi
Slot 1 : Bengkel : mengenal pasti masalah pengajaran dan pembelajaran sejarah dan cara guru untuk mengatasinya.

Guru/peserta dibahagikan mengikut kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada lima/enam ahli. Setiap kumpulan perlu membuat perbincangan dan mengemukakan tiga masalah yang dihadapi oleh guru semasa P&P sejarah serta tiga cara untuk mengatasinya / tiga langkah yang boleh dilaksanakan oleh guru dalam masa 10 hari/sebelum PMR untuk membantu pelajar lulus dengan cemerlang dari segi kuantiti dan kualiti. (Semua alat tulis telah disediakan sebelum bengkel dimulakan. Terima kasih Pn Rooslina Ahmad.)

Tujuan slot ini diadakan supaya guru sejarah dapat berinteraksi, berbincang dan berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam P&P sejarah memandangkan peserta adalah terdiri daripada guru yang mempunyai pelbagai pengalaman yang berbeza. Guru yang berlainan umur dan pengalaman mengajar telah duduk bersama-sama membincangkan tajuk yang diberikan.

Peserta sedang membincangkan isu/masalah dan langkah mengatasi
      

Selepas tiga puluh minit, wakil setiap kumpulan dijemput untuk membentangkan hasil perbincangan mereka dari segi masalah/isu dalam P&P sejarah dan cara untuk mengatasinya. Pelbagai masalah/isu telah dikemukakan oleh guru dan mereka telah berkongsi idea atau cara untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Yang penting ialah para peserta dapat berkongsi pengetahuan dan cara/idea yang paling berkesan untuk membantu pelajar dalam masa 10 hari sebelum peperiksaan PMR.

Pembentangan oleh peserta tentang isu/masalah dan cara berkesan dalam p&p sejarah
  

Para peserta menumpukan perhatian samasa pembentangan oleh rakan
  

Masa : 10.00 - 10.20 Rehat 

 

Masa : 10.30 - 11.30 pagi
Slot 2 : Bagaimanakah guru boleh membantu pelajar meningkatkan prestasi dari segi kualiti dan kuantiti ?
Penceramah berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang beberapa program yang boleh membantu sekolah meningkatkan prestasi sejarah PMR dari segi kualiti dan kuantiti. Berikut merupakan beberapa program yang boleh dilaksanakan oleh guru untuk membantu pelajar dalam meningkatkan prestasi PMR :
  • Mengenalpasti sukatan minimum
  • Guru mengajar cara belajar yang berkesan
  • Guru mengulangkaji secara pantas bersama pelajar
  • Program Tutor atau Mentor-Mentee
  • Kelas Intervensi selepas sekolah
  • Guru mengulangkaji berpandukan soalan
  • Program fokus
  • Bengkel Sejarah
  • Galakkan guru untuk meningkatkan keyakinan pelajar
Pembentangan oleh penceramah cara berkesan untuk membantu pelajar dan sesi soal jawab
  

sehari dalam sejarah
tss@seafield

FOKUS PMR 2010 SEAFIELD

Panitia sejarah ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Sophia Law dan Cikgu Lim Ong Lang dalam usaha untuk meningkatkan prestasi Sejarah PMR. Pelbagai program meningkatkan prestasi sejarah telah dijalankan dalam masa dua minggu ini untuk membantu pelajar mencapai pencapaian yang cemerlang dan terbilang dalam peperiksaan PMR 2010. Pihak panitia juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pn Chong, penolong kanan akademik yang telah berusaha dan merancangkan program meningkatkan prestasi bagi semua subjek PMR. Semoga anak-anak murid yang disayangi mencapai prestasi cemerlang, gemilang dan terbilang dalam PMR 2010. INGAT, CIKGU SENTIASA BERSAMA DENGAN ANDA!

BERJUANG SEHINGGA SAAT AKHIR………DEMI KEJAYAAN!!!

Ucapan oleh Pn Chong, Penolong Kanan Akademik Seafield sebelum mulanya Fokus PMR pada 20 September 2010 (Lokasi Dewan Blok A)

Fokus PMR 2010 di Dewan Seri Kenangan Seafield

Menjawab soalan dengan bersungguh-sungguh oleh pelajar semasa Fokus PMR

BERJUANG SEHINGGA SAAT AKHIR………DEMI KEJAYAAN!!!

"MURIDKU ANAKKU SAYANG"

SEMOGA ANDA BERJAYA
sehari dalam sejarah

Thursday, September 16, 2010

JOHAN ESEI KATEGORI MENENGAH RENDAH

JOHAN (kategori menengah rendah)
Tajuk Esei : Penghayatan mata pelajaran Sejarah dapat menjana Satu Malaysia
Nama : Yeo Xin Jie
Tingkatan : 3 Kukuh

“Dari runtuhnya kesinambungan Kota Melaka,

Kehebatan Putrajaya bersatu kita dirikan;

Sejarah melakar detik silam negara,

Gagasan Satu Malaysia mampu dijana”.

Menurut Kamus Dewan, sejarah ditakrifkan sebagai peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Ciri-ciri sejarah merangkumi fakta yang tepat dan benar, penting dan bermakna, serta mempunyai sebab dan akibat. Arkeologi dan antropologi merupakan cabang sejarah yang penting untuk membuat tafsiran. Satu Malaysia pula merangkumi aspirasi yang menekankan tiga teras utama, iaitu penerimaan, kenegaraan, dan keadilan sosial. Melalui pendidikan sejarah, hasrat murni Satu Malaysia bukan omongan kosong lagi.

Sejarah bertujuan memberikan iktibar yang bermanfaat kepada masyarakat madani kerana mempunyai makna yang tersirat di sebalik peristiwa. Generasi muda berpeluang menimba teladan daripada lipatan sejarah sebagai pedoman hidup dan sekaligus diterapkan sikap berwaspada terhadap anasir luar bagi menjayakan matlamat negara. Tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969 mengajarkan kita peri penting untuk memelihara kesejahtaraan rakyat agar kesilapan pahit tidak berulang lagi.

Selain itu, sejarah merupakan senjata ampuh untuk mewujudkan integrasi nasional yang jitu sebagai teras keutuhan negara. Kepelbagaian kaum dapat disatupadukan untuk menyingsing lengan dalam menjayakan sesuatu usaha atas kesedaran asal usul bangsa sendiri. Pengertian ini sesungguhnya menanamkan bibit-bibit persefahaman dan sekaligus mengikis perasaan syak wasangka. Dengan ini, isu-isu sensitif dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah yang dahsyat berkat permuafakatan rakyat. Bak kata peribahasa “Bersatu teguh, becerai roboh”. Tegasnya, Satu Malaysia mampu direalisasikan berkat toleransi rakyat.

Seterusnya, nasionalisme dapat tersemai dalam sanubari rakyat menerusi penghayatan sejarah. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selaku Ketua Menteri bertungkus lumus menuntut kemerdekaan negara dan berjaya membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan selama 446 tahun. Pemahaman tentang keperitan untuk mencapai kemerdekaan negara menyedarkan kita agar menghargai nikmat yang dikecapi. Pendek kata, sejarah dapat melahirkan jati diri untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada anasir luar.

Akirnya, sejarah juga mampu dijadikan kunci kejayaan individu. Tokoh perjuangan seperti Antanom dan Rentap yang berani mengalirkan keringat dan bermandikan darah demi menegakkan maruah bangsa wajar dicontohi. Slogan ‘Malaysia Boleh’ seakan-akan suntikan semangat untuk menggondol kemenangan. Jelaslah sejarah bukan sahaja memupuk nilai kesyukuran, malahan kekaguman ini memberangsangkan seseorang merintis kejayaan dalam hidup.

Natijahnya, kepentingan sejarah dalam merealisasikan Satu Malaysia tidak dapat disangkal. Langkah Kementerian Pelajaran yang mewajibkan pengambilan mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan PMR dan SPM sejak tahun 1993 mesti disokong. Tanpa sejarah, manusia umpama kehilangan akar umbi, apatah lagi melahirkan pelapis pemimpin negara yang berkarisma menjelang Wawasan 2020. Y.A.B Dato Seri Dr Mahathir pernah mengatakan “Bangsa yang agung ialah bangsa yang mahu mempelajari sejarah.”

(399 patah perkataan)

Terima kasih kepada cikgu Mohana Raju, cikgu Norhayati Mohamad dan cikgu Yusdin dalam membantu untuk menjayakan pertandingan esei sempena sambutan Bulan Patriotik dan Kemerdekaan 2010.
selamat maju jaya
tss@seafield

Wednesday, September 15, 2010

JOHAN ESEI "SUBJEK SEJARAH MENJANA 1MALAYSIA"

KATEGORI MENENGAH ATAS
JOHAN
Tajuk : Penghayatan mata pelajaran Sejarah dapat menjana Satu Malaysia.  Berikan  pendapat anda tentang pernyataan ini.
Nama : Yeo Xin Ying
Tingkatan : 4 Budi

Pada zaman pascakemerdekaan ini, sejarah telah menjadi mata pelajaran yang wajib diambil dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Secara umumnya, sejarah merakamkan peristiwa zaman silam berdasarkan kajian dan penyelidikan yang berasaskan fakta yang tepat dan bukti yang kukuh. Menurut Buku Teks Sejarah Tingkatan 1, istilah sejarah berasal daripada perkataan syajaratun yang bermaksud pohon atau pokok, riwayat, salasilah, keturunan dan asal usul. Mahatma Gandhi pernah berkata, “Segala-galanya bermula dengan diri sendiri.” Sebagai rakyat Malaysia, kita memang tidak dapat menafikan bahawa penghayatan sejarah dapat menjana Satu Malaysia.

Satu Malaysia yang bercogan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ telah dilaksanakan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum berteraskan nilai-nilai penting. Konsep ini memerlukan komitmen semua pihak untuk merealisasikan aspirasi kerajaan untuk membentuk bangsa Malaysia yang unik. Datuk Seri Najib Razak pernah berkata, “Kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Kita juga mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.” semasa melancarkan gagasan Satu Malaysia. Dengan menghayati sejarah, kita dapat memahami kebudayaan, falsafah hidup dan asal usul kaum lain secara lebih mendalam. Kita seharusnya hidup bersama secara aman dan bekerjasama seperti ‘ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’ tanpa mengira agama, bangsa dan budaya untuk mengelakkan rusuhan kaum. Upacara menaikkan bendera dan laungan “MERDEKA” oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 juga boleh dijadikan semboyan perpaduan. Tegaslah bahawa penghayatan sejarah mewujudkan semangat kekitaan yang berasaskan sikap toleransi dan membawa kepada kepesatan pembangunan negara kita selaras dengan Wawasan 2020.

Selain itu, penghayatan sejarah juga memberikan iktibar kepada kita supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan. Menurut George Santayana, “Mereka yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya.” Melalui pembelajaran sejarah, kita dapat mengimbas kembali kisah benar yang telah berlaku apabila negara kita berada di bawah penjajahan pihak British. Sejarah banyak memberikan kita teladan dan pengajaran terutamanya dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua serta mengajar kita supaya bersikap lebih berhati-hati dalam menangani cabaran dunia globalisasi. Kita juga dapat menyedari kesan kedahsyatan peperangan dan  menekankan kedamaian sosial dalam kehidupan seharian seperti yang dilakukan oleh Asoka dalam menjalankan penaklukan selepas Perang Kalinga.  Bak kata pepatah ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’, perbalahan antara negara tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak. Peperangan banyak membawa penderitaan yang berpanjangan, kematian dan kehilangan harta benda kepada penduduk setempat. Oleh itu, penghayatan sejarah membolehkan generasi kini mencintai keamanan dan merangka wawasan masa hadapan dengan lebih berkeyakinan.

Di samping itu,  penghayatan sejarah dapat merangsang kejayaan individu dalam bidang yang diceburi. Tokoh-tokoh sejarah yang berkaliber dan saintis berjaya telah mempengaruhi pemikiran dan perwatakan manusia supaya berusaha ke arah kecemerlangan. Secara tidak langsung, saintis terkenal seperti Albert Einstein, Thomas Alva Edison dan Isaac Newton akan menjadi dorongan kepada generasi muda kini untuk meminati bidang sains. Hasil perasaan kagum terhadap tokoh-tokoh tersebut, maka lahirlah saintis yang berani meneroka dan membawa kemajuan kepada negara dalam era teknologi maklumat. Generasi muda juga dapat menjadikan perjuangan dan kejayaan tokoh-tokoh silam yang berani menentang pihak penjajah sebagai penggerak utama. Dengan menghayati sejarah, keagungan Melayu Melaka pada suatu masa dahulu akan dijadikan perangsang untuk mencapai kemajuan negara. Oleh itu, melalui penghayatan sejarah, kejayaan pemimpin negara mengisi kemerdekaan dengan merancang pembangunan secara sistematik boleh merangsang kita untuk mengejar impian dalam hidup.

            Bukan itu sahaja, semangat patriotisme atau semangat cinta akan tanah air juga dapat dipupuk dalam kalangan generasi kini dengan menghayati sejarah. Sebagai warganegara yang cinta akan tanah tumpah darah, Hari Kebangsaan merupakan tarikh yang amat bermakna kerana menandakan tamatnya era penjajahan asing di negara kita. Keadaan ini juga akan menyebabkan kita lebih mencintai, menyayangi dan bangga terhadap negara kita serta ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ dengan bangsa yang telah maju. Semangat nasionalisme yang berkobar-kobar juga membara dalam hati generasi muda apablia mempelajari latar belakang tokoh pejuang Melayu yang berpegang teguh pada prinsip ‘biar putih tulang, jangan putih mata’. Antara tokoh pejuang nasionalisme yang bangun menentang penjajahan British ialah Dato Bahaman di Pahang, Mat Salleh di Sabah, Tok Janggut di Kelantan dan Dato Maharajalela di Perak. Tanpa mempelajari sejarah, kita mungkin akan lupa bahawa kita sememangnya pernah menempuh suatu zaman keagungan pada masa dahulu. Justeru, perasaan jati diri yang tinggi dapat disemai dan keperibadian bangsa dapat dibentuk dalam jiwa kita melalui penghayatan sejarah.

             Kesimpulannya, sejarah merupakan mata pelajaran kurikulum yang berperanan penting dalam kehidupan kita terutamanya menjana Satu Malaysia. Oleh itu, tindakan kerajaan yang mewajibkan subjek sejarah sehingga tingkatan 5 merupakan keputusan yang bijaksana. Bak kata pepatah ‘bersatu teguh, bercerai roboh’, jadi semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk merealisasikan gagasan Satu Malaysia. Bapa Sejarah, Ibn Khaldun pernah menyatakan bahawa “Sejarah membicarakan tentang masyarakat manusia, atau peradaban manusia, tentang perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat.” Jadi, kita perlu menguasai dan menghayati sejarah kerana tanpa sejarah, kita diibaratkan bangsa yang ketiadaan akar umbi. Marilah kita bersama-sama menghayati dan menjayakan gagasan Satu Malaysia dengan mengamalkan 8 nilai utama bermula dari sekarang juga!
                                     (799 patah perkataan)

NAIB JOHAN "SUBJEK SEJARAH MENJANA 1MALAYSIA"

Tahniah dan Syabas kepada pemenang pertandingan esei sempena Bulan Sambutan Patriotisme dan Kemerdekaan.

Kategori Menengah Atas : 
Tajuk : Penghayatan mata pelajaran Sejarah dapat menjana Satu Malaysia. Berikan pendapat anda tentang pernyataan ini.
Nama : Scott Chung Chin Wei
Tingkatan : 4 Budi

                Perkembangan pendidikan dalam pelbagai bidang , terutamanya dalam bidang sains dan teknologi menyebabkan para pelajar lebih berminat untuk memilih untuk mempelajari subjek-subjek yang berteraskan sains dan teknologi. Mereka tidak berminat lagi untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah. Faktor utama yang menyebabkan mata pelajaran Sejarah tidak diminati ialah pelajar terpaksa menghafal dan mengingati tarikh-tarikh dan peristiwa penting yang berlaku. Kebanyakan pelajar mengambil jalan mudah dengan mengabaikan mata pelajaran ini. Namun, bagi merealisasikan gagasan  Satu Malaysia yang baru-baru ini dilancarkan oleh Perdana Menteri kita , Datuk Seri Najib Tun Razak,  pembelajaran dan penghayatan mata pelajaran Sejarah sebenarnya adalah wajib.

                  Dengan menghayati mata pelajaran Sejarah , banyak peristiwa yang dapat dijadikan panduan dan pengajaran dalam kehidupan. Peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan catatan hitam dalam sejarah negara kita telah menggugat keamanan dan kestabilan politik di negara ini. Kesan daripada tragedi itu ramai nyawa yang tidak berdosa telah terkorban dan harta benda juga turut musnah.Peristiwa pahit yang dialami negara tidak akan berulang jika masyarakat mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku dan sanggup bertolak ansur dengan semua tanpa mengira bangsa dan agama. Oleh itu , matlamat Satu Malaysia untuk mewujudkan perpaduan antara masyarakat yang berlainan kaum akan tercapai.

               Mata pelajaran Sejarah dapat memupuk semangat cinta akan negara. Rakyat yang mempelajari Sejarah akan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai oleh negara. Mereka akan berusaha untuk mempertahankan  kedaulatan negara daripada ancaman anasir luar. Mereka tidak mahu lagi keperitan dan kesusahan pada zaman penjajah berulang kembali. Begitu juga, negara yang telah merdeka bebas daripada kekejaman dan penderitaan. Rakyat bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa ditindas oleh orang lain. Keperitan dan kepayahan masyarakat dahulu memperjuangkan kemerdekaan akan disanjung tinggi. Ternyatalah rakyat akan  patuh dan setia  kepada negara melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah dan seterusnya merealisasikan gagasan Satu Malaysia yang menggariskan nilai kesetiaan.

                          Mengikut penjelasan Perdana Menteri , seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia , objektif utama gagasan Satu Malaysia adalah untuk kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.  Penghayatan mata pelajaran Sejarah membolehkan kita membaca tentang masalah perkauman dan perebutan kuasa yang berlaku  antara pembesar-pembesar  pada zaman Kesultanan Melayu Melaka  telah membuka pintu kepada penjejahan imperialis-imperialis Barat selama 446 tahun. Nasib rakyat peribumi tidak terbela dan mereka hidup merana. Oleh itu,sudah tentu masyarakat pada zaman ini tidak menginginkan peristiwa pahit tersebut berulang . Mereka akan berdiri, berfikir dan bertindak sebagai  bangsa Malaysia dan bukannya mengikut etnik masing-masing.

                      Mata pelajaran Sejarah juga membolehkan kita mengetahui kebudayaan dan falsafah hidup rakyat majmuk. Kita mengetahui asal usul pelbagai kaum di Malaysia. Kita juga sedar bahawa pembangunan Malaysia hasil daripada pengorbanan tiga kaum utama. Dengan itu persefahaman yang lebih erat dapat dipupuk. Sikap toleransi antara kaum dapat diwujudkan. Semangat kekitaan dapat dilahirkan. Prasangka antara kaum dapat dielakkan. Semua sikap positif ini haruslah dimiliki oleh setiap rakyat sekiranya gagasan Satu Malaysia mencapai matlamatnya.

                      Ramai dalam kalangan pelajar sekarang tidak berminat untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah kerana mereka berpendapat bahawa subjek ini membosankan dan susah dipelajari. Tambahan pula, pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran ini dianggap ketinggalan kerana kesukaran melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi serta tidak mampu bersaing dengan pelajar lain apabila ingin mendapatkan pekerjaan nanti, khususnya pelajar yang memilih jurusan Sains dan Matematik. Pada pendapat mereka, mata pelajaran Sains dan Matematik lebih menjamin masa depan dan mudah memperoleh pekerjaan berbanding dengan mata pelajaran Sejarah.

                        Pelbagai langkah perlu dijalankan agar mata pelajaran Sejarah terus diminati seperti mata pelajaran lain. Misalnya, pelajar-pelajar perlu didedahkan dengan kepentingan mata pelajaran ini dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran selain membawa pelajar melawat tempat-tempat bersejarah agar mereka kembali menyedari bahawa sejarah amat penting dan bukan hanya untuk dipelajari malah dihayati. Golongan remaja dan dewasa perlu dinasihati bahawa mereka yang tidak mempelajari Sejarah menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat patriotik. Oleh itu, mereka tidak menghortmati negara dan tindakan mereka itu boleh menghancurkan impian Perdana Menteri kita untuk menjayakan gagasan Satu Malaysia.

                          Tuntasnya, mata pelajaran Sejarah harus dihayati untuk menjana Satu Malaysia. Rakyat yang alpa dan tidak mengetahui sejarah menyebabkan mereka akan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang telah berlaku dahulu. Oleh itu, mata pelajaran Sejarah bukan sahaja dipelajari oleh pelajar untuk lulus peperiksaan, malah perlu dihayati untuk kepentingan bersama.
                        
 (680 patah perkataan)

Terima kasih

Monday, September 13, 2010

SOALAN PERCUBAAN SEJARAH SPM 2010 - NEGERI

Berikut merupakan soalan percubaan negeri 2010 yang dapat dikumpulkan :

KEDAH
MRSM (K1, K2)
MELAKA
P. PINANG (K2, SKEMA)
PERLIS (K1, K2)
KELANTAN (K1, K2)
NEGERI SEMBILAN (SKEMA K1 K2, K1)
TERENGGANU
PUTRAJAYA (K1,K2, SKEME K2)

Thursday, September 9, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI dan SELAMAT BERCUTI kepada semua warga Seafield :



sehari dalam sejarah
panitiasejarah

Tuesday, September 7, 2010

TAHNIAH ANUGERAH KELAB/PERSATUAN PALING AKTIF 2010


Sijil Anugerah
Tahniah kepada semua ahli persatuan sejarah & geografi kerana dengan penglibatan mereka yang begitu aktif dan kreatif telah melayakkan persatuan sejarah & geografi dianugerahkan sebagai persatuan/kelab paling aktif Tahun 2010 sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum pada 5 Ogos 2010 di Dewan Seri Kenangan.
Terima kasih kepada guru penasihat Cikgu Norsuzana, guru sejarah dan ahli persatuan yang telah membantu  dalam menjayakan segala rancangan dan program yang dirancang pada tahun ini. Syabas diucapkan agar anugerah yang diterima pada tahun ini menjadi penggerak kepada kami untuk tahun hadapan. Berikut merupakan gambar-gambar kenangan manis bersama ahli persatuan :

Ahli Persatuan Sejarah & Geografi 2010
Perjumpaan semasa aktiviti persatuan
 Pemimpin-pemimpin di Persatuan sejarah 2010
Perasmian Laman Blog panitia sejarah 30 April 2010
Lawatan ke Camerans Highlands 26-27 Jun 2010
Lawatan Ke Kota Melaka 3 April 2010
Lawatan ke Air Panas Sungkai Tapah, Perak 26 Jun 2010
SELAMAT MAJU JAYA

AKTIVITI MENJANA 1MALAYSIA

  sehari dalam sejarah
  tss@seafield

Friday, September 3, 2010

Aktiviti Menghayati Kemerdekaan ke-53

"HAYATI MERDEKA, JADIKAN IA HAK MILIK KEKAL"
"Mengikut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, golongan pelajar perlu menghayati dan memahami erti kemerdekaan dengan penuh keinsafan agar mereka mampu menggalas tanggungjawab dalam menjadikan kemerdekaan milik selama-lamanya. Murid-murid selaku bakal pemimpin di masa hadapan dapat terus bersatu padu demi menjaga warisan kemerdekaan negara kita".

Aktiviti yang telah dianjurkan oleh panitia sejarah sesi petang telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar. Pihak panitia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cikgu Tan Kwee Cheng, Cikgu Dziatul, Cikgu Siti Asni, Cikgu Nazuha dan Cikgu Ardi yang berusaha menjayakan program ini. Berikut merupakan hasil kerja pelajar sepanjang bulan Ogos bertujuan untuk mengingati dan menghayati hari bersejarah untuk negara kita :

 Potret tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan yang dihasilkan oleh pelajar

JOHAN
 SIAW FANG NI (1H) & CHAN JIE MIN (2D)

NAIB JOHAN
ANGELINE TAN TIAN LI (1C) & SHANITA LYN KUMAR (2H)

TEMPAT KETIGA
WONG JIE LI (1E) & GAN SHER RHIE (2J)
 

PERTANDINGAN MENYANYI LAGU PATRIOTIK
NYANYIAN LAGU PATRIOTIK

DEKLAMASI SAJAK PATRIOTIK
 

KUIZ KEMEDERKAAN

MELUKIS POSTER SEJARAH

AKTIVITI MENJANA 1MALAYSIA

IMALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI


Terima Kasih
sehari dalam sejarah