Friday, May 28, 2010

NANYANG SIANG PAU - LAPORAN LAWATAN KE KOTA MELAKA

Terima kasih kepada saudari Yeo Xin Ying (4B), tulisan laporan lawatan sambil belajar ke Kota Melaka pada 3 April 2010 (Bahasa Cina) telah disiarkan dalam surat khabar Nanyang Siang Pau pada 25 Mei 2010. Para pelajar boleh rujuk kepada papan notis Persatuan Sejarah & Geografi untuk maklumat selanjutnya.


 

1 SEAFIELD, 1MALAYSIA







Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Melaka







Tarikh: 3 April 2010
Hari : Sabtu
Masa : 7.30am - 10.30pm
Tempat berkumpul : SMK Seafield
0730 : Ahli Persatuan Sejarah dan Lembaga Koperasi Sekolah berkumpul di sekolah untuk mengambil kehadiran pelajar. Seramai 40 orang pelajar dan 5 orang guru telah menyertai lawatan ini.
0800 : Kami bertolak ke Melaka tepat pada masanya.
0840 : Semua pelajar telah diminta untuk bersarapan di kawasan R&R Seremban. Pelajar juga berpeluang untuk merehatkan diri. Bas meneruskan perjalanan pada pukul 9 pagi.

1000 : Kami tiba di Melaka. Antara tempat yang kami lawati:










1) Bangunan Stadthuys

















Bangunan Stadhuys ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.

Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan, yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.

Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, Encik J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten. Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah Encik T.H. Moore.

Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.

Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.

Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.

2) Gereja Christ

Gereja Christ yang berwarna merah ini terletak bersebelahan dengan Pejabat Pos Jalan Laksamana dan Muzium Belia Malaysia.
Gereja ini dibina sekitar tahun 1753 pada tempat yang sama.Gereja ini merupakan testimoni kepada seni rekabentuk Belanda yang tulen.
Di sini dapat diperhatikan bangku gereja yang buatan tangan, siling cahaya matahari yang dibina tanpa penyambung, kitab Injil tembaga, batu nisan yang ditulis dalam bahasa Armenia dan lukisan 'Last Supper' pada jubin yang bersinar.

3) Gereja St. Paul
Puing Gereja St. Paul yang terletak dalam kota A' Fomosa, Melaka, dengan patung St. Francis Xavier dihadapannya.
Puing Gereja St. Paul yang terletak dalam kota A' Fomosa, Melaka. Kelihatan batu penutup kubur yang telah dialih dari lantai dan disandarkan ke dinding kota.
Puing Gereja St. Paul yang terletak dalam kota A' Fomosa, Melaka. Kelihatan menara rumah api yang dibina bersebelahan dengannya.
Gereja St. Paul merupakan sebuah gereja yang terletaknya di Bandar Hilir, Melaka. Ia dibina oleh Kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho pada tahun 1521 dan dinamakan "Our Lady of The Hill".
Gereja ini kemudiannya ditukar oleh pihak Belanda kepada tempat persemadian bangsawan dan di namakan gereja St. Paul. St. Francis Xavier telah dipelihara di dalam perkuburan terbuka pada tahun 1553 sebelum dibawa dengan kapal ke Goa, India.
Di bawah gereja ini terdapat Kota A Famosa.











5) Kota A Famosa

Tinggalan pintu kota yang dipanggil Porta de Santiago di A Famosa.

Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.

A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.
Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.

Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago. Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.

A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.

1230 : Kami makan tengah hari di Dataran Pahlawan Melaka Megamall. Di sini pelajar berpeluang untuk menikmati juadah mengikut selera masing-masing.

1430 : Lawatan diteruskan ke beberapa tempat yang menarik.

6) The Baba Nyonya Heritage Museum

Rumah baba-nyonya di Melaka

Suatu pengalaman yang hanya diperoleh di Melaka. Rumah Baba-Nyonya begitu unik dan asli. Muzium ini memaparkan budaya baba dan nyonya yang sebenar.

7) Jonker Street
-          Tokong Cheng Hoon
Tokong Cheng Hoon Teng telah dibina oleh Kapten Lee Wei King dan ia merupakan tokong Cina yang tertua di Malaysia.

-          Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi
Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi terletak bedekatan dengan Masjid Kampung Kling di Bandar Melaka.
Salah satu daripada kuil Hindu yang pertama didirikan di negeri ini. Ia dibina pada tahun 1781 di mana tanahnya telah diberi oleh Belanda.
Jika anda ingin melawat kuil lama ini, ia terletak di persimpangan antara Jalan Tukang Emas dan Jalan Hang Kastur

-          Masjid Kampong Kling
Masjid Kampong Kling di bandar Melaka merupakan salah satu daripada masjid yang tertua di negeri ini gaya rekabentuk Sumatera.
Selain daripada mempunyai sebuah kubah yang konvensional, ia juga mempunyai 3 tingkat bumbung yang berbentuk seperti piramid.
Masjid ini mempunyai menara yang berlainan daripada yang biasa disaksikan, di mana strukturnya yang seperti pagoda memaparkan gabungan pengaruh arkitek Timur dan Barat. Masjid ini terletak di antara persimpangan Jalan Lekiu dan Jalan Tukang Emas.

1630 : Pengalaman yang berharga dan menyeronokkan iaitu menyusuri Sungai Melaka (River Cruise).

1800: Tidak lengkap sekiranya kami tidak berkunjung ke penempatan masyarakat Portugis. Kami berpeluang untuk menikmati makan malam di sini.

1930 : Kami diberi peluang membeli-belah di pasar malam yang terkenal di Melaka iaitu     di Jonker Street.
  
2100 : Kami berangkat pulang ke Subang Jaya.

2300: Kami tiba di sekolah.

Laporan oleh :
Malisa Shereen 4B

Monday, May 17, 2010

GOTONG ROYONG PERDANA DI SEAFIELD

Puan pengetua Teh Seok Im mengucapkan ribuan terima kasih kepada badan beruniform sekolah yang telah membantu sekolah dan guru-guru menjayakan program Gotong Royong Perdana Sempena Hari Guru 2010 pada 15 Mei 2010 (Sabtu). Berikut merupakan gambar-gambar tentang aktiviti gotong royong perdana yang dijalankan :

Gotong Royong di Bilik Guru
             
Gotong Royong di kawasan sekolah 
             
Gotong Royong di bilik khas
        
Selepas Gotong Royong Perdana, semua guru telah menghadiri Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru di Dewan Seri Kenangan. Nampaknya guru-guru masih bertenaga, ceria dan bersemangat untuk menghadiri kursus ini. Semoga cikgu-cikgu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PTK.
Guru-guru ceria dan cantik Seafield
    

  
    
GOTONG ROYONG MENJANA 1MALAYSIA
TERIMA KASIH
tss@seafield

PERUTUSAN HARI GURU 2010 MENTERI PELAJARAN MALAYSIA


Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN SEMPENA PERAYAAN HARI GURU KE-39
TEMA
“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia.
16 haribulan Mei setiap tahun merupakan Hari Guru. Seluruh negara akan menyambut dan merayakan Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Justeru, marilah kita semua merafakkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut dan merayakan ketibaan Hari Guru bagi tahun ini.
Penghormatan ini amat layak diterima oleh para guru atas kegigihan guru-guru memberikan segala tunjuk ajar serta mendidik murid-murid untuk menjadi insan cemerlang yang berilmu dan berpekerti mulia. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab seorang guru merupakan tugas yang amat mulia.
Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ”Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Guru” kepada semua warga pendidik. ”Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan mencabar. Syabas saya ucapkan kepada guru-guru atas kejayaan dalam mengharungi cabaran-cabaran ini dengan semangat dan iltizam yang tinggi dan meletakkan sistem pendidikan di negara ini ke tahap yang membanggakan.
Sejak tahun 1990, sektor pendidikan kita telah berkembang pesat dalam meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Namun begitu, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang telah kita capai. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara ke tahap yang setara dengan negara maju dan bertaraf dunia. Masih banyak yang perlu dimantapkan dan diperbaiki supaya sistem dan institusi pendidikan benar-benar dapat melahirkan modal insan yang cemerlang, mempunyai daya saing yang tinggi dan berwibawa.
Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,
Pada tahun 1991 Kerajaan membina azam untuk mencapai Wawasan 2020, untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri. Bagi menghadapi cabaran-cabaran yang menghalang kita daripada mencapai wawasan ini, kerajaan telahpun melancarkan Pelan Transformasi sebagai satu kerangka pelan hala tuju yang memperincikan objektif, keberhasilan dan langkah-langkah permulaan yang akan dilaksanakan. Tempoh satu dekad yang tinggal ini bukanlah satu jangka masa yang panjang. Oleh itu, kita hendaklah dengan satu tekad yang kuat untuk bersama-sama menjayakan bidang keberhasilan utama pendidikan iaitu Meningkatkan Akses kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan. Objektif ini mampu kita capai jika kita semua memainkan peranan masing-masing dengan lebih bersungguh-sungguh dan berkesan.
Justeru, guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golongan yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar daripada guru-guru dan ibu bapa. Sesungguhnya peranan guru-guru, murid dan ibu bapa akan membantu melonjakkan prestasi sekolah untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi.
Sebab itulah Kementerian telah memilih tema “Guru Pembina Negara Bangsa” dijadikan sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Kejayaan membangunkan sebuah negara bangsa yang teguh akan membantu kita mencapai Wawasan 2020. Nilai-nilai mulia seperti sifat saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa, berbudi bahasa, memiliki disiplin diri dan kesungguhan wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.
Matlamat kerajaan untuk membina sebuah negara bangsa adalah selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia adalah gagasan untuk membina kekuatan melalui perpaduan nasional dan semangat kebersamaan. Lapan nilai-nilai aspirasi yang menjadi teras gagasan 1Malaysia iaitu budaya ilmu, integriti, ketahanan, kesetiaan, kebijaksanaan, budaya ketepatan,budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi merupakan nilai-nilai teras yang perlu diterapkan sebagai budaya kehidupan rakyat bagi memacu kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Setiap rakyat menjunjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.
Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu ianya perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap rakyat. Kementerian Pelajaran akan terus menyokong pembinaan negara bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi.
Saya menaruh penuh keyakinan dan berharap guru dapat memainkan peranan yang penting ini. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jati diri murid bagi melahirkan modal insan cemerlang.
Dalam merealisasikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan, kita peru menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan untuk membina kumpulan tenaga kerja yang berpengetahuan, inovatif, kreatif dan berdaya saing. Ini selaras dengan agenda negara melaksanakan Model Ekonomi Baru. Maka, dalam hal ini, guru-guru perlu lebih berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreratif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan murid-murid.
Oleh itu, guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan ia memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi pada setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi role model kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang membina negara bangsa kerana Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru.
Kerajaaan pula akan terus berusaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Ke arah itu, langkah-langkah penambahbaikan sistem pemilihan calon guru dan memantap program latihan asas perguruan akan dilaksanakan. Di samping itu kerajaan juga akan melaksanakan Pelan Penambahbaikan Sekolah(School Improvement Plan) dan mewujudkan beberapa insentif di bawah Sistem Tawaran Baru atau New Deal kepada kepimpinan sekolah serta guru-guru bagi meningkatkan prestasi sekolah. Kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah bagi memperbaiki laluan kerjaya guru dengan mewujudkan peluang-peluang kenaikan pangkat yang lebih baik melalui “Faster Career Progression” atau “Fast Track”. Dari semasa ke semasa tahap persekitaran kerja diperbaiki dengan meningkatkan kemudahan dan prasarana pendidikan, khususnya di luar bandar dan pedalaman. Saya percaya, pendekatan dan usaha-usaha ini akan menjadikan profesion keguruan suatu profesion yang lebih menarik.
Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan kita akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.
“Selamat Menyambut Hari Guru”
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warah matullahi wabarakatuh.
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
10 Mei 2010

PERUTUSAN HARI GURU 2010 OLEH Y.BHG. TAN SRI KPPM




PERUTUSAN HARI GURU 2010
oleh
Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd. Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”
Assalamualaikum Warahmatullahi  Wabarakatu, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekelian.
1.         Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya, sekali lagi pada tarikh ini, 16 Mei 2010, kita dapat menyambut hari paling istimewa bagi para pendidik iaitu Hari Guru. Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 disambut untuk kita semua  memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion keguruan selain mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.
2.         Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa berusaha untuk menyediakan sistem pendidikan yang terbaik agar setiap kita dapat mengembangkan potensi dan bakat secara optimum. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara dengan mengetepikan perbezaan yang berdasarkan kepada bangsa dan agama. Oleh itu, semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbir profesional kelas pertama.
3.         Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Para guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan. Guru harus bijak membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard serta mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri dalam usaha mencapai kecemerlangan tugas sebagai pendidik dan pembina negara bangsa.  
4.         Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Setiap guru juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka supaya generasi pelapis akan mampu mengorak langkah kearah kecemerlangan diri, bangsa dan negara.
5.         Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang beliau lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik. Saya penuh yakin dengan kewibawaan para guru di Malaysia dalam mempersiapkan diri anak didik agar menjadi insan yang cekal dan berupaya mengharungi tuntutan dan perubahan arus globalisasi.
Warga pendidik dan pelajar sekelian,
6.         Matlamat dan dasar yang dihasratkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dalam membina Negara Bangsa adalah untuk memastikan setiap pelajar memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal, bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik serta bersatu padu. Kementerian Pelajaran menyediakan pendidikan yang dapat menyemai nilai-nilai ini bermula di peringkat awal pendidikan kanak-kanak lagi.
7.         Bagi merealisasikan hasrat ini agen perubahan yang utama adalah guru dan institusi pendidikan.Guru harus memainkan peranan untuk memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan melalui aktiviti kurikulum, kokurikulum dan sukan. Peranan guru adalahmemastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi.  Aspirasi negara terhadap guru sebagai pembina negara bangsa menuntut komitmen yang tinggi daripada semua warga pendidik. Guru harus menggalas tugas berat menghasilkan seorang insan yang cemerlang dari segi ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang sains, teknologi dan ICT, berkemahiran tinggi seperti berupaya berkomunikasi dengan berkesan dalam pelbagai bahasa dan mempunyai sahsiah yang positif agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan negara.
8.         Konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri menekankan kesejahteraan rakyat dan keberhasilan yang dapat dinikmati seperti yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia “Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Bagi mencapai kesejahteraan, warga pendidik harus menghayati dan berkongsi bersama falsafah dan objektif ‘collegiality’ yang membawa maksud “the cooperative relationship with colleagues”(keserakanan). Kita harus faham bahawa prinsip keserakanan yang positif boleh mempercepatkan proses pencapaian kecemerlangan secara bersama. Prinsip keserakanan harus wujud dalam diri setiap pendidik supaya aspirasi negara dapat diterjemahkan dalam satu kefahaman bersama.
9.         Saya dengan ini menyeru kepada semua warga pendidik supaya membulatkan tekad dan menguatkan azam untuk sama-sama bekerja bagi memartabatkan organisasi pendidikan kita. Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah dengan semangat keserakanan bagi memartabatkan profesion keguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan ideologi rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Penerapan konsep 1Malaysia harus dipupuk di peringkat sekolah kerana pembentukan sahsiah dan karakter remaja adalah ketika di alam persekolahan. Sama-samalah kita berdoa agar apa yang direncana akan terlaksana mengikut rangka kerja dan perancangan.
10.       Penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2010  meliputi semua agensi kerajaan. Sistem pengukuran prestasi menggunakan KPI di sekolah adalah penting dan perlu dilaksanakan. Tuntutan terhadap sekolah dalam kecemerlangan akademik, kokurikulum, disiplin yang baik, amalan-amalan pengurusan, kepimpinan, kompetensi guru yang tinggi dan lain-lain memerlukan sekolah menggunakan strategi serta amalan yang berasaskan prestasi. Penggunaan KPI dan sasaran prestasi boleh digunakan dalam setiap aspek pengurusan sekolah di mana prestasi boleh diukur dari segi proses yang disampaikan dan output yang dihasilkan di sekolah. Sasaran prestasi perlu mengambil kira perkara-perkara seperti keupayaan proses yang meliputi aliran kerja, keperluan sumber manusia, kewangan, peralatan, infrastruktur yang sesuai serta kepuasan dan kehendak pelanggan.
11.       Saya yakin sistem pengukuran KPI sebagai kayu pengukur kepada kecemerlangan perkhidmatan pendidikan akan dapat meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan untuk rakyat Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan kualiti sistem pendidikan negara kekal dan bertaraf dunia.
12.       Akhir kata, sempena dengan sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di Malaysia dan berharap tahun 2010 ini akan membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan negara dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara bangsa.
TERIMA KASIH CIKGU! …“SELAMAT HARI GURU”.

SELAMAT HARI GURU 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU 2010
TERIMA KASIH, CIKGU
Khas untuk warga pendidik di Seafield




Semua guru mengucapkan Terima Kasih kepada Lembaga Pengawas atas hadiah sebiji kek kepada guru untuk sambut Hari Guru pada hari ini. Sambutan hari guru peringkat sekolah akan diadakan pada 25 Jun 2010 (Jumaat).

PK Pn Chong Ik Poh & Pn Viani Abba & Pengerusi Kelab Guru Pn Doris Thomas
 bersama dengan  guru-guru memotong kek


Saturday, May 15, 2010

Pencapaian Sekolah 2009


Pencapaian Sekolah 2009
Bil.
Anugerah/Pengiktirafan
Pencapaian
1
Anugerah Kualiti Sekolah Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Peringkat Daerah
Penghargaan
2
Anugerah Kualiti Pemimpin Kategori Sekolah Menengah Peringkat Daerah
Penghargaan
3
Anugerah Kualiti Pencapaian Akademik Pencapaian Tertinggi Keseluruhan (PMR) Peringkat Daerah
Penghargaan
4
Anugerah Kualiti Pencapaian Akademik Pencapaian Gred A dalam Semua Subjek (PMR) Peringkat Daerah
Penghargaan
5
Anugerah Kualiti Pencapaian Akademik Mengekalkan Peratus Pencapaian Cemerlang (PMR) Peringkat Daerah
Penghargaan
6
Anugerah Kualiti Pencapaian Akademik Pencapaian Tertinggi Keseluruhan (STPM) Peringkat Daerah
Penghargaan
7
Anugerah Kualiti Pencapaian Akademik Pencapaian Tertinggi Gred A dalam Semua Subjek (STPM) Peringkat Daerah
Penghargaan
8
Anugerah Kualiti Pencapaian Akademik Lonjakan SaujanaSTPM) Peringkat Daerah
Penghargaan
9
Anugerah Kualiti Pencapaian Akademik Mengekalkan Peratus Pencapaian Cemerlang (STPM) Peringkat Daerah
Penghargaan
10
Anugerah Kualiti Pencapaian Kokurikulum Keseluruhan Sekolah Menengah Peringkat Daerah
Naib Johan
11
Anugerah Kualiti Lanskap Sekolah Kategori Sekolah Menengah Peringkat Daerah
Naib Johan
12
Anugerah Khas Kualiti Pertandingan Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan
Saguhati
13
Pengurusan Nilam Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Bandar Peringkat Negeri.
Pertama