Friday, April 20, 2012

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN STPM 2011

TAHNIAH DAN SYABAS
Eric Ong Yan Kai
PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN STPM 2011 
Eric Ong Yan Kai merupakan anak kedua daripada 3 beradik.    Pernah bersekolah di SJK(C) Lick Hung. Semasa belajar di sekolah  tersebut, pendidikan memainkan peranan yang kecil dalam     hidupnya. Sebaliknya, dia mempunyai minat dalam syarahan dan nyanyian. Dalam tempoh itu, dia banyak menyertai kedua-dua pertandingan tersebut. Penyertaan pertandingan ini telah        meningkatkan keyakinan dirinya. Dalam peperiksaan awam UPSR, dia telah memperolehi 5A dan 2B. Selepas tamat pendidikan    rendah, dia meneruskan pelajarannya di SMK USJ 12. Minatnya dalam pelajaran pada masa ini  masih kurang, namun dia mempunyai minat dan aktif dalam Kelab Bimbingan dan Kaunseling. Semasa berada tingkatan dua, dia dipilih menjadi pengerusi kelab tersebut. Di samping itu, dia mula  menunjukkan minat dalam mata pelajaran matematik. Minatnya dibuktikan dalam pencapaian       peperiksaaannya di tingkatan 3, iaitu berjaya mengekalkan  keputusan  100 markah bagi mata pelajaran matematik. Jelaslah bahawa minatnya cenderung kepada mata pelajaran sains dan matematik. Dia memperolehi keputusan 6A dan 2B dalam PMR.

Selepas peperiksaan PMR, dia mendapati bahawa keputusannya telah        mengecewakan bapanya. Oleh itu, dia berusaha dengan gigih dengan matlamat yang baru dalam hidupnya iaitu untuk membanggakan keluarganya. Dia berusha mengatasi mata  pelajaran yang lemah seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Cina. Usahanya telah membawa hasil apabila mencapai 8A+, 2A, 1A- dan 1C+ dalam SPM. Dalam aspek kokurikulum, dia kekal aktif dalam Kelab Bimbingan Dan Kaunseling. Semasa di tingkatan 5, dia sekali lagi dipilih menjadi pengerusi  bagi kelab tersebut memandangkan dedikasinya dalam menjalankan tugas yang diberi.

Walaubagaimanapun, dia tidak mendapat biasiswa untuk melanjutkan           pelajarannya selepas SPM dan mengambil keputusan memasuki tingkatan 6. Dalam tingkatan 6, dia menjadi lebih matang. Dia mempunyai perspektif positif dalam hidupnya. Selain itu, kebolehannya menguruskan masa dengan berkesan membantunya menangani kurikulum dan kokurikulum dengan baik. Dia dipilih menjadi pengerusi dalam Kelab Catur, Scrabble dan Sudoku. Dia juga merupakan ketua karnival kelasnya dan mengusahakan gerai dengan bantuan rakan-rakannya. Dengan sikap yang positif dan usahanya, dia telah berjaya memperolehi 3A dan 1B+ dalam STPM. Ini telah membanggakan keluarganya.
Semasa berada di  tingkatan 6 pelbagai cabaran yang telah ditempuhinya dan dia telah mengatasinya dengan dorongan keluarganya, guru-gurunya dan Tuhan. Dia memegang kepada moto hidup iaitu “Dengan Keupayaan Diri, Kita Boleh Jalan Satu Batu, Manakala Dengan Tuhan, Kita Boleh Jalan Lebih Daripada Jangkaan Sendiri.” Moto adalah perangsang dalam hidup kerana dia tahu bahawa Tuhan senantiasa menemaninya dalam mengatasi pelbagai cabaran.

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN SPM 2011

TAHNIAH DAN SYABAS

     PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN SPM 2011
     
Yeo Xin Ying dilahirkan pada 22 Februari 1994 dan merupakan anak ketiga daripada 4 beradik. Kakak beliau mengambil kursus pergigian di University of Glasgow di bawah tajaan JPA. Manakala abangnya pula mengikuti kursus kejuruteraan di University of Toronto, juga di bawah tajaan JPA.  Adik perempuan pula, sedang belajar di Tingkatan 5 di SMK Seafield. 

Beliau mendapat pendidikan awal di SJK(C) Lick Hung sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Seafield. Semasa beliau berada di bangku sekolah, beliau sudah menunjukkan minat dalam pelajarannya. Berkat usaha gigihnya, beliau berjaya memperoleh 7A dalam peperiksaan UPSR 2006, dan 8A dalam peperiksaan PMR 2009. Dengan usaha yang konsisten, beliau mencatatkan 12A+ dalam peperiksaan SPM 2011 sekaligs mendapat Anugerah Kecemerlangan SPM 2011 peringkat Negeri Selangor. Keputusannya yang cemerlang berakar umbi daripada guru-guru sekolah yang dedikasi dan cemerlang, selain sokongan padu daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya. Oleh itu, ribuan terima kasih diucapkan kepada guru-guru, ahli keluarga dan rakan-rakan yang telah memberi dorongan dan sokongan moral dalam membantu mencapai kecemerlangan ini.

Selain bidang akademik, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.   Beliau telah menyertai Lembaga Koperasi sejak Tingkatan 1 dengan memegang jawatan sebagai Pengurus Koperasi. Beliau dilantik sebagai Ketua Pengurus Sesi Petang Koperasi pada tahun 2008. Pada tahun 2011, beliau menjadi Pengerusi Lembaga Koperasi yang bertanggungjawab untuk mengendalikan hal ehwal yang berkaitan dengan Koperasi. Selain itu, beliau juga merupakan Setiausaha Persatuan Bahasa Cina pada tahun 2011 dan berjaya menganjurkan lawatan sambil belajar ke Royal Selangor, Muzium Orang Asli dan One fm di Kuala Lumpur bersama dengan AJK Persatuan Bahasa Cina yang lain. Di luar sekolah pula, beliau merupakan wartawan murid bagi akhbar Nanyang Siang Pau yang aktif melaporkan aktiviti-aktiviti yang diadakan di sekolah.

Beliau turut melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan khususnya bidang sains dan matematik. Beliau mendapat hadiah saguhati dalam Peraduan Matematik Piala Hua    Lo-Keng (Kumpulan Menengah Atas). Beliau juga mendapat Certificate of Distinction bagi Australian Mathematics Competition dan Certificate of High Distinction bagi Kuiz Kimia   Kebangsaan.

Pada masa lapang, Xin Ying suka membaca buku-buku ilmiah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, di samping mendengar lagu pada masa senggang. Cita-citanya adalah menjadi pakar bedah. Untuk mencapai cita-citanya, beliau akan terus berusaha  bersungguh-sungguh untuk mencapai wawasannya.

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN PMR 2011



TAHNIAH DAN SYABAS
Adilah binti Mohd Ridza
      
 PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN PMR 2011
            
Adilah binti Mohd Ridza telah dilahirkan pada 30 Jun 1996 di Subang Jaya. Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini mungkin sahaja seorang yang pendiam di sekolah namun beliau merupakan seorang yang ceria dan sering menjana “mood” yang baik di rumah. Abang-abangnya kini sudah melepasi zaman persekolahan dan sedang menimba ilmu di menara gading. Bapanya pula, Mohd Ridza bin Md Shariff, bekerja sebagai jurutera        manakala ibunya Suhara binti Basri merupakan seorang suri rumah. Adilah mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu untuk melanjutkan pelajaran di luar negara namun bidang yang ingin diceburi belum dikenal pasti. Apa yang pasti bagi beliau adalah untuk menjadi insan yang berpengetahuan tinggi, bermoral serta berguna kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Adilah binti Mohd Ridza tidak menghalang dirinya daripada bergiat aktif dalam beberapa aktiviti kokurikulum. Salah satu aktiviti kokurikulum yang diserati adalah Puteri Islam. Buktinya, Adilah telah menjawat jawatan ‘wakil tingkatan’ dalam Puteri Islam semasa Tingkatan 1 dan 2,  malah tidak pernah gagal menyertakan diri dalam kawad kaki sempena Hari Sukan pada setiap tahun. Semasa Tingkatan 2, beliau dilantik menjadi Setiausaha kepada Rumah Hijau dan semasa Tingkatan 3 pula, beliau adalah wakil tingkatan bagi Kelab Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) dan Naib Setiausaha 2 bagi Puteri Islam.

Sebagai anak bongsu dalam keluarganya, Adilah tidak pernah lekang daripada menerima kasih sayang daripada semua ahli keluarganya. Sokongan yang padu serta berterusan daripada keluarga menjadi punca dorongan untuk beliau melakukan yang terbaik dalam pelajaran beliau. Besertakan doa ibu bapa dan keluarganya, kejayaan ini menjadi kenyataan bagi beliau.

Beliau adalah seorang insan yang sama seperti murid-murid yang lain namun atas sokongan ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan keluarganya, beliau telah berjaya mengharumkan nama diri, keluarga dan sekolah. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan kepadanya selama ini. Beliau juga berharap agar kejayaannya dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

JARINGAN MESRA SEJARAH - SDAR SEREMBAN

Program : Jaringan Mesra Sejarah
Tarikh : 19 April 2012 (Khamis)
Masa : 2.00 petang
Sekolah : Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban (SBT)
Peserta : 32 pelajar dan 3 orang guru


Selamat datang ke SMK Seafield Subang Jaya.

Gambar Kenangan di SMK Seafield
Gambar kenangan bersama guru dan pelajar
Jamu selera di Bilik Mesyuarat
Laluan Warisan Seafield
Galeri Sejarah SEafield
Guru SDAR dan Seafield

Wednesday, April 18, 2012

SESI PERBINCANGAN 3 : SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA


Soalan Perbincangan 3 :


Apakah aktibar yang boleh dipelajari daripada perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan negara kita ?

SESI PERBINCANGAN 2 : SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA



Soalan perbincangan 2 :


Berdasarkan pengetahuan sejarah anda, mengapakah kita mesti mengamalkan sikap bertoleransi dalam kehidupan seharian ?

Tuesday, April 17, 2012

SESI PERBINCANGAN 1 : SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA

Tajuk : Kemerdekaan Malaysia

Video Sejarah Kemerdekaan Malaysia

MAKLUMAT RUJUKAN TAMBAHAN ;

SOALAN PERBINCANGAN 1 :
Sebagai warganegara Malaysia, bagaimanakah anda dapat mengekalkan kemerdekaan Negara kita ?