Saturday, April 30, 2011

KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN KALI KE 16

PROGRAM : SUKANAN TAHUNAN
TARIKH : 30 APRIL 2011
MASA : 7.00 PAGI
TEMPAT : KOMPLEKS SUKAN MPSJ
PERASMIAN : DATO' ABD RAHMAN HJ ALI YDP PIBG
LAPORAN : YEO XIN JIE

 

Kejohanan Olahraga SMK Seafield bermula pada pukul 7 pagi. Ramai peserta dan ibu bapa datang berduyun-duyun memenuhi Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya di USJ 5. Suasana bertambah meriah dengan kehadiran pelajar yang sibuk mengambil tempat yang strategik. Tetamu dan pegawai sukan juga kelihatan di ceruk padang. Masing-masing bertenaga dan ceria untukmenyambut hari yang gilang-gemilang ini. Perasaan kegembiraan jelas terpancar pada wajah semua hadirin. Tetamu kehormat majlis ini, yakni Yang Berbahagia Dato’ Abd Rahman bin Haji Ali selaku Yang di-Pertua PIBG tiba di kompleks sukan dengan iringan pengetua, penolong kanan, dan guru-guru kanan. Ketika itu, acara sukan 1500m dijalankan secara serentak.

Tepat pada jam 8 pagi, Kejohanan Olahraga bermula dengan barisan lintas hormat oleh semua Rumah Sukan dan Pasukan Badan Beruniform. Masing-masing mencuba sedaya upaya untuk bersaing mendapat johan dalam acara perbarisan. Terdapat juga pelajar yang mempamerkan kreativiti dalam mencipta kepala naga sebagai lambang warna yang simbolik. Kemudian, Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Selangor dinyanyikan oleh semua dengan lantang sekali. Setelah bacaan doa, Pengetua SMK seafield, Pn. Hajah Zaleha bt Abu Hasan menyampaikan sepatah dua kata sebagai pembuka majlis ini. Beliau menyeru para pelajar supaya ’Majulah Sukan Untuk Sekolah’ demi merealisasikan hasrat murni kerajaan dalam melancarkan program ’1 Murid 1 Sukan’. Acara dilangsungkan dengan ucapan daripada Yang Berbahagia Dato’ Abd Rahman bin Haji Ali bagi merasmikan kejohanan olahraga tersebut. Beliau menegaskan perkembangan individu yang menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Seterusnya, seantero hadirin melafazkan Ikrar Kejohanan di bawah pimpinan olahragawan dan olahragawati pada tahun 2010.

Kemuncak kejohanan olahraga ialah persembahan daripada para pelajar. Ahli-ahli taekwando mempersembahkan ragam yang beraneka dengan gaya sendiri mengikut rentak muzik. Seorang pelajar tingkatan 3 telah menendang sekeping papan tebal sehingga dibelah dua dengan mudah. Pasukan Cheerleading turut tidak ketinggalan semasa menghidangkan aksi yang menawan hati penonton. Asyik kedengaran tepukan yang gemuruh bergema mengisi atmosphera padang. Nyatalah persembahan yang memegunkan ini berjaya mencuit hati hadirin. Kira-kira 10 pagi, acara sukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kategori diadakan, iaitu 100m, 200m, dan 400m serta acara jemputan 4X100m bagi lelaki dan perempuan. Para peserta kelihatan gigih menuju ke arah matlamat untuk merangkul pingat emas yang diidam-idamkan. Sebelum sesi rehat selama 45 minit, pertandingan senamrobik antara rumah sukan dijalankan. Jelaslah bahawa persaingan untuk menduduki tangga pertama adalah sengit kerana setiap rumah menunjukkan kelebihan diri yang unggul. Selepas itu, acara sukan disambung semula dengan 4X100m dan 4X400m bagi kategori lelaki dan perempuan.

Pada pukul 2 petang, Kejohanan Olahraga SMK Seafield Kali Ke-16 berakhir dengan majlis penyampaian hadiah. Para hadirin bersurai sebaik sahaja upacara penutup selesai. Meskipun letih dan panas dibakar matahari, namun masing-masing berpuas hati dan sukacita kerana menjayakan aktiviti tahunan ini dengan bermakna. Diharapkan kejohanan olahraga pada tahun hadapan akan dilaksanakan dengan lebih berjaya berkat kerjasama semua pihak. Sesungguhnya, aktiviti ini mempunyai tujuan serampang dua mata. Di samping diasah bakat dan potensi diri yang terpendam, para pelajar juga ditanamkan kesedaran tentang kepentingan melibatkan diri dalam sukan dan kegiatan kokurikulum bagi melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama menjelang tahun 2020. Pelajar hari ini, pemimpin masa depan.

Thursday, April 28, 2011

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK 2011

Program : Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik 2011
Tarikh : 28 April 2011
Tempat : Dewan Seri Kenangan
Dirasmikan oleh : En. Mohd Salleh Bin Mohd Kassim, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

TAHNIAH DAN SYABAS KEPADA PELAJAR-PELAJAR YANG MENERIMA ANUGERAH CEMERLANG PADA HARI INI.

PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN PMR 2010
               
Yeo Xin Jie dilahirkan pada 24 September 1995 dan merupakan anak bongsu dalam keluarga. Beliau mempunyai dua orang kakak dan seorang abang yang merupakan pelajar sekolah ini. Beliau menerima pendidikan awal di SJK(C) Lick Hung sebelum meneruskan pelajaran di SMK Seafield. Beliau bepegang teguh pada falsafah “rajin usaha tangga kejayaan” dan “yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang”.
Sejak di bangku sekolah, beliau berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam pelajarannya. Berkat titik peluhnya, beliau berjaya mencapai keputusan yang membanggakan, iaitu 7A dalam peperiksaan UPSR pada tahun 2007 dan 8A dalam peperiksaan PMR pada tahun 2010.
Selain bidang akademik, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum. Beliau telah menyandang jawatan Pengurus Lembaga Koperasi sejak Tingkatan 1 sehingga sekarang. Beliau juga merupakan wakil tingkatan dalam unit beruniform Pandu Puteri dan ahli jawatankuasa dalam Persatuan Bahasa Cina. Beliau pernah mewakili sekolah untuk menyertai pertandingan kuiz pengetahuan am secara berkumpulan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya dan muncul sebagai juara.
Aktiviti yang digemari beliau ialah membaca buku cerita untuk memanfaatkan waktu senggang di samping mendengar muzik. Beliau bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang akauntan yang berjaya.
Sesungguhnya, keputusannya yang cemerlang dalam bidang akademik berakar umbi daripada guru-guru yang berdedikasi selain sokongan moral daripada ahli keluarga dan sahabat handai. Justeru, ribuan terima kasih beliau rakamkan kepada semua pihak berkenaan. Kejayaan yang dikecapi merupakan hasil iltizam semua pihak. Beliau bertuah kerana dikurniakan anggota keluarga yang menjadi tiang semangat kepada beliau. Beliau juga berharap agarmemperoleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM dan seterusnya berjaya merealisasikan visi beliau selama ini.





PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN SPM 2010


            Pragaash A/L Ponnusamy dilahirkan pada 11 Februari 1993 dan merupakan anak kedua dalam keluarga.  Beliau mempunyai seorang abang yang juga merupakan bekas pelajar SMK Seafield dan kini belajar perubatan di Universiti Manipal di India, dan seorang orang adik perempuan yang sedang belajar di SRK USJ 2.  Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Sri Subang Jaya sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Seafield. Semasa beliau berada di bangku sekolah, beliau berusaha gigih dalam pelajarannya.  Hasil usahanya, beliau berjaya memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR, dan 7A dalam peperiksaan PMR 2008. Namun, beliau sentiasa mencerminkan dirinya sebagai seorang yang rendah diri dan berpegang teguh kepada ungkapan kata hikmah bahawa “Kejayaan adalah anugerah Tuhan, dan kegagalan adalah lumrah kehidupan”. Dengan usaha yang konsisten, beliau mencatatkan 11A+ dalam peperiksaan SPM 2010.  Keputusannya yang cemerlang berakar umbi daripada guru-guru yang dedikasi dan cemerlang, selain sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakannya.  Oleh itu, beliau ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru, ahli keluarga dan rakan-rakannya yang telah memberi dorongan dan sokongan dalam membantunya mencapai kecemerlangan.

Selain bidang akademik, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum.  Beliau telah menyertai Lembaga Pengawas sejak Tingkatan 1.  Pada ketika itu, beliau telah melaksanakan segala tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi. Malah, pada tahun 2009, beliau telah menyumbangkan tenaganya dalam menjayakan Majlis Hari Guru dan juga dalam badan teknikal Lembaga Pengawas.  Selain itu, beliau juga merupakan Pengerusi Kelab F1 dan Setiausaha Kelab Robotik pada tahun 2010.  Potensi beliau dalam menjamin keseimbangan dari segi akademik dan kokurikulum terserlah apabila beliau merangkul tempat ke-empat dalam Pertandingan Robotik Nasional 2010.  Beliau juga  pernah merupakan seorang ahli Pengakap yang berjaya memperoleh kelulusan lencana Usaha di samping merupakan pemegang tali Blue Senior dalam Persatuan Taekwondo.  Pada tahun 2008, beliau merupakan jurugrafik dalam Sidang Redaksi yang telah berjaya mendapat penghargaan daripada semua apabila hasil grafiknya terpilih sebagai muka depan majalh Minda SMK Seafield.  Semetelahan itu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Editor bagi Sidang Redaksi sekolah. Di luar sekolah pula, beliau pernah bergiat dalam Junior Eco Community di bawah Malaysian Nature Society dalam menyumbang kepada alam sekitar.

Sejak kecil, beliau amat cenderung terhadap bidang sains dan matematik.  Beliau giat aktif mewakili sekolah dalam menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan pada peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Berkat usaha dan dorongan guru serta rakannya, beliau berjaya mendapat Bronze Certificate dalam Pertandingan Fizik Kebangsaan dan juga Certificate of Distinction dalam Kuiz Kimia Kebangsaan.  Selain itu, beliau juga telah mewakili sekolah dalam Sunway A-level Maths & Logic Challenge, Taylor’s Engineering ‘CO2’ Car Competition, Australian Mathematics Competition dan sebagainya. Dari kaca mata bidang kokurikulum pula, beliau telah mewakili sekolah dalam Kejohanan Hoki peringkat Daerah, CIMB Junior Scrabble Circuit, dan sebagainya.
Semasa waktu lapang, Pragaash suka melayari Internet untuk mendapatkan insipirasi dan idea untuk kegiatan grafiknya, di samping mendengar lagu. Beliau juga sentiasa mambaca hasil nukilan ramai penulis untuk memperkaya pengetahuannya. Cita-citanya adalah untuk menjadi seorang jurutera mekanikal dan sains komputer yang berjaya.  Demi mencapai cita-cita ini, beliau akan terus berusaha dengan gigih dalam merealisasikan wawasannya



               PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN STPM 2010
                                
Ivy Chang atau nama penuh Chang Wei Zhi merupakan bekas Ketua Tingkatan 6 Amanah SMK Seafield. Beliau dilahirkan pada 9 Mac 1991 dan merupakan anak sulung dalam keluarganya. Beliau memulakan pelajarannya sejak 2 tahun setengah di Kuching, Sarawak. Sejak kecil, beliau menunjukkan minatnya dalam muzik. Semasa mendapatkan pendidikan awal di SJK(C) Lick Hung, beliau sering melibatkan diri dalam pertandingan nyanyian dan memperoleh kemenangan yang amat membanggakan. Beliau mula bermain piano pada usia 9 tahun. Dengan bakatnya yang sedia ada, kerjaya penyanyi menjadi impian beliau. Namun demikian, impian kanak-kanak tidak kekal selamanya.
Selepas tamat persekolahan di SJK(C) Lick Hung dengan keputusan 7A dalam peperiksaan UPSR, beliau meneruskan pelajarannya di SMK USJ 12. Kegigihannya dalam pelajaran telah membolehkan beliau mencapai 8A dalam PMR 2006 dan 10 A1,1 B3 dalam SPM 2008. Walaupun beliau hanya mendapat B3 dalam Bahasa Cina, beliau tidak pernah menyesal untuk mengambil peperiksaan tersebut dalam SPM. Selain daripada pencapaian academik, beliau mula melibatkan diri dalam olahraga semasa Tingkatan 4. Antara kejohanan yang memperoleh kemenangan ialah Kejohanan Larian Jubli Emas MSSS, Kejohanan Olahraga 4X400M MSSD, Kejohanan Merentas Desa MSSD dan lain-lain lagi.
  Pilihan program pengajian lepasan SPM merupakan keputusan yang sukar ditentukan memandangkan Wei Zhi masih tidak dapat menentukan hala tujunya. Atas nasihat ibu bapa, Tingkatan 6 menjadi pilihan utama beliau memandangkan STPM yang diakui di peringkat antarabangsa merangkumi skop yang lebih mendalam dan luas serta lebih mencabar daripada pendidikan pra-universiti yang lain. Sepanjang dua tahun di SMK Seafield, beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malahan dalam aspek kokurikulum. Selain memberi perhatian dalam kelas, meminta tunjuk ajar guru-guru dan rakan, beliau mengamalkan prinsip untuk mengulangkaji sekurang-kurangnya 3 jam sehari. Beliau merupakan Ketua Tingkatan kelas, Naib Pengerusi kelab Sains dan Matematik, Setiausaha kepada Sixth Form Council dan ahli aktif dalam kelab Ping Pong. Sebagai seorang pelajar yang penuh dedikasi, beliau dianugerahkan ‘Pelajar Terbaik dalam Bidang Kimia’ semasa tingkatan enam bawah. Di samping itu, beliau mencapai High Distinction Award di University of News South Wales Australia International Mathematics Competition. Beliau juga mengambil bahagian dalam Kuiz Kimia Kebangsaan Malaysia anjuran Institut Kimia Malaysia. Di peringkat sekolah, kerjasama antara Wei Zhi dengan ahli kumpulannya telah menjadikan mereka johan dalam pertandingan Pameran Terbaik sempena Minggu Sains dan Matematik. Beliau turut melibatkan diri dalam Pertandingan Buku Skrap Maklumat Kerjaya serta Pertandingan Kuiz Kerjaya anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling serta Kelab Kerjaya. Dalam bidang sukan pula, beliau telah mengambil bahagian dalam Larian MPSJ-NST 10 KM dan Olymic Day Run 2010. Beliau juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti Community Health Care Programme anjuran St. John Ambulance Malaysia dan International MIRACLE Youth Conference anjuran AIESEC UPM. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan pelajar Tingkatan 6 adalah amat mencabar. Wei Zhi hampir melepaskan hasratnya untuk mendapat 4A dalam STPM disebabkan keputusan peperiksaan yang sentiasa kurang memuaskan. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah putus asa dan terus berusaha agar tiada kekesalan dalam skop yang dipilihnya. Dengan sokongan ahli keluarga, guru-guru dan rakan-rakan serta usaha yang berterusan, akhirnya beliau memperolehi 4A dalam STPM. Dengan ini, beliau ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendorongnya dalam usaha mencapai kecemerlangan. Apa yang diharapkan, menjadi seorang pakar Ortodontik yang berjaya satu hari nanti.


PELAJAR SEMUA A+ SPM 2010 SMK SEAFIELD

WILLIAM NGEOW 10A+
FENG WAI YI 10A+

PRAGAASH 11A+
LIM SHIN YING 10A+
BERSAMA PN ROSLINA AHMAD PK HEM

TAHNIAH DAN SYABAS


Friday, April 22, 2011

KEM PERDANA SEAFIELD 2011

Program : Kem Perdana Seafield 2011
Tema : Muhibah 1 Seafield
Tarikh : 15 -17 April 2011
Tempat : Dusun Eko Resort, Bentong, Pahang.
Peserta : 12 guru dan 129 pelajar Badan Beruniform
Laporan : Nur Shahirah Hj Mohd Yasin ( 5 Budi )


Gambar Kenangan Kumpulan Kem Perdana 2011
PENGENALAN
Aktiviti perkhemahan merupakan satu aktiviti yang dapat menerapkan semangat setiakawan, semangat kerjasama, menyuburkan daya kepimpinan sejajar dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dalam Teras ke 2 iaitu membina modal ihsan. Selain daripada itu ia merupakan satu wadah bagi ahli badan uniform untuk menjadi lebih berdisiplin dan seterusnya memberikan sumbangan kepada sekolah, keluarga, agama dan negara. Aktiviti perkhemahan ini telah mula menjadi acara tahunan bagi sesetengah unit dan juga amat dinanti nantikan oleh pelajar. Justeru itu, untuk memberi lebih tarikan kepada para pelajar, perkhemahan ini dicadangkan untuk menghimpunkan pelajar dari semua unit beruniform yang paling dikenali sebagai “Perkhemahan Perdana Badan Beruniform SMK Seafield 2011”. Tema perkhemahan pada kali ini ialah ‘Ke Era Satu Malaysia’. Tema ini dipilih sejajar dengan hasrat Y.A.B Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menjayakan konsep satu Malaysia dan diharap melalui perkhemahan konsep ini dapat disemaikan ke dalam pemikiran pelajar.

OBJEKTIF
· Dapat memupuk sikap kepimpinan
· Pelajar dapat pendedahan kemahiran asas perkhemahan
· Pelajar dapat bekerjasama dalam kumpulan dalam setiap aktiviti yang dijalankan
· Dapat memahami penggunaan kompas semasa aktiviti
· Dapat memupuk semangat berkumpulan dan setiakawan
· Dapat menjalinkan hubunganantara guru dan peserta perkhemahan

Nyayian Negaraku
 

 
Hari Pertama : 15 April 2011 (Jumaat)
Masa : 2.30 - 11 mlm
Lokasi : Seafield  & Dunsn Eko Resort Bentong

Sebelum bertolak ke kawasan perkhemahan, Majlis Penyerahan Bendera diadakan di dewan sekolah. Majlis tersebut bermula pada jam 2.30 petang dengan semua peserta siap sedia memakai pakaian uniform masing-masing dan berkumpul di dalam dewan. Setelah itu, ketibaan Pengetua, Pn Hajah Zaleha Abu Hasan dan YDP PIBG, Dato Hj Abd Rahman Haji Ali diumumkan dan majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku. Majlis tersebut diberkati lagi dengan bacaan doa oleh saudara Wafi bt Abdul Karim dari unit Bomba. Guru Besar tidak melepaskan peluang untuk memberi ucapan nasihat kepada para peserta serta mendoakan keselamatan peserta pergi dan balik dari tapak perkhemahan dengan selamat. Setelah itu, Pengetua menyerahkan bendera Kem Perdana 2011 kepada Tuan Nazuha selaku Ketua Kem Komandan lantas lagu Kem Perdana dinyanyikan setelah bendera di naikkan, lagu ini merupakan hasil nukilan En Jaffny. Sebelum berangkat pergi, gambar beramai-ramai diadakan sebagai kenang-kenangan di hari tua kelak. Para peserta kemudian dibahagikan mengikut bas masing-masing yang telah ditetapkan, tiga buah bas dan sebuah van digunakan untuk menampung 129 peserta Kem Perdana 2011.



Lebih kurang jam 5.30 petang semua peserta selamat tiba di kawasan tapak perkhemahan walaupun ada bas yang tersesat pada mulanya. Setelah itu, para peserta di kehendaki berada dalam kumpulan seperti yang telah ditetapkan seminggu yang lalu. Setelah mendapat arahan daripada Tuan Komandan, Tuan Nazuha, setiap kumpulan diarahkan mendirikan 2 buah khemah dan kemudian para peserta dibenarkan membersihkan diri dan bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya. 
Makan malam yang di nanti-nantikan para pesrta tiba setelah penat mendirikan khemah yang disediakan penganjur yang boleh memuatkan 7 orang satu khemah. Setelah perut kenyang di isi dengan nasi dan lauk yang lazat disediakan, tiba masanya untuk aktiviti ”ice breaking” yang luar biasa. Aktiviti ini dilakukan oleh Tuan Jaffny, dan diberi nama ,”need each other”, para peserta di kehendaki menanggalkan kasut dan meletakkan kasut tersebut di tengah-tengah dewan tersebut. Ketika itu, kita tidak kisah mengenai kasut kita sama ada hilang atau pun tidak, kita hanya tahu untuk bersatu dengan rakan kumpulan masing-masing. Aktiviti yang seterusnya pula adalah” Siapa punya”  dimana peserta diminta untuk memakai mana-mana kasut yang ada di dewan tersebut tetapi tidak boleh memakai kasut sendiri dan kemudian duduk mengikut kumpulan. Setelah itu, wakil setiap kumpulan di minta untuk bercakap dalam bahasa binatang untuk mendapatkan kembali kasut mereka, setelah mendapatnya mereka di minta untuk menanyakan nama, tingkatan dan dari unit mana orang yang mengambil kasut kita. 
Aktiviti ini sungguh menakjubkan kerana melalui ini para peserta dapat berkenalan dengan orang lain selain ahli kumpulan mereka. Setelah itu,aktiviti diteruskan dengan pembentangan bendera kumpulan. Setiap kumpulan yang telah menyediakan bendera mereka di minta membentangkan fungsi logo bendera mereka dalam masa 3 minit, ini melatih para peserta untuk sentiasa menepati masa dengan cakapan yang berfaedah.

 Pada jam 11 malam, para peserta di minta membuat 4 barisan perempuan dan 4 barisan lelaki untuk di lepaskan bagi menjalankan aktiviti ”night walk”. Sebelum berlepas ke dalam hutan, kita diminta untuk menyerahkan lampu suluh dan setiap kumpulan hanya akan di bekalkan sebatang lilin dan dengan lilin inilah peserta harus masuk ke dalam hutan dan balik dengan selamat. Hal ini akan menguji kerjasama dan kepercayaan antara ahli kumpulan masing-masing. Dalam masa 3 jam, para peserta telah berjaya mendaki dan menuruni bukit dengan selamat walaupun ada yang terkena gigitan pacat dan terdapat  juga beberapa kumpulan yang sesat kerana terputus baris, dari sini kita benar-benar belajar mengenai kepentingan bekerjasama dalam sebuah pasukan. Mereka di benarkan masuk tidur setelah semua tiba dengan selamatanya.


Hari Kedua : 16 April 2011 (Sabtu)
Prieppppp, Prieppppp, Priepppp, itulah wisel yang menandakan para peserta harus bangun dari tidur walaupun hanya satu jam tidur, ahli kem perdana di suruh untuk membersihkn diri dan berkumpul di dewan tepat jam 7 pagi. Mereka kemudian melakukan senaman pagi yang diketuai oleh Tuan Jaffny dan Tuan Zulkifli agar dapat mengelak dari sebarang kecederaan ketika melakukan aktiviti sepanjang hari ini. Peserta kemudian di beri sarapan pagi dan bersiap sedia dengan uniform masing-masing untuk upacara Perasmian Kem Perdana 2011. Seperti sebelumnya, setelah ketibaan Puan Pengetua,Pn Hajah Zaleha Abu Hasan, Pn Chong Ik Poh dan Pn Roslina Ahmad majlis di mulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa oleh Saudara Wafi. Majlis kemudian diteruskan dengan uacpan sekaligus perasmian oleh Puan Pengetua, Pn Hajah Zaleha Abu Hasan yang turut menyokong perkhemahan ini dengan  menghadirkan diri dan menyertai aktiviti bersama para peserta di tapak perkhemahan . Walaupun beliau tidak dapat  menyertai dalam ” night walk ”  namun kehadiranya telah menjadi satu pnghargaan bagi kami disini. Majlis di akhiri dengan nyanyian lagu Pekhemahan Perdana . ’Inspection’ khemah diadakan oleh pengetua setelah majlis  tersebut berakhir.

 

      

Ahli Kem Perdana kemudiannya dibahagikan kepada 3 kumpulan besar daripada 9 kumpulan yang ada. Kumpulan A terdiri daripada group 1,4 dan 7, manakala Kumpulan B : group 2,5,dan 8 dan Kumpulan C : group 3,6,dan 9 . Kita kemudian dipecahkan mengikut stesen masing-masing. Kumpulan A akan melakukan aktiviti ”flying fox” , Kumpulan B melakukan aktiviti berakit manakala Kumpulan C melakukan aktiviti rentas halangan. Beginilah aktiviti yang akan dilakukan dan akan bertukar mengikut giliran dan setiap kumpulan harus melakukan ketiga-tiga aktiviti sebelum jam 6 petang. ’Flying Fox’ antara aktiviti yang di nanti-nantikan, bukan sahaja para peserta, Pengetua bersama Pn Chong dan Pn Roslina juga turut mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Sebelum ke tempat flying fox, kita harus merentas jambatan gantung yang pangjangnya lebih kurang 500m . Seterusnya, rentas halangan merupakan aktiviti yang paling mencabar kerana peserta harus mempunyai kekuatan fizikal dan juga mental. Peserta di minta merentasi halangan seperti, melompat tembok yang tinggi, berjalan di atas satu tali, bergayut dan melompat dari satu tayar ke tayar yang lain dimana kebanyakan peserta gagal melakukan bahagian ini kerana tiada keseimbangan badan. Bagi aktiviti berakit pula, merupakan antara aktiviti yang menyeronokkan, para peserta diminta untuk membina rakit sendiri dan harus terapung apabila dilepaskan ke dalam kolam. Dengan aktiviti ini dapat mengajar kita untuk saling bekerjasama dalam membina rakit. Bagi pengangkap , mereka telah biasa dengan aktiviti mengikat rakit manakala unit beruniform lain merupakan pengalaman pertama untuk mengikat rakit yang diajar oleh  pengngkap. Semua aktiviti telah berjaya berakhir pada jam 6 petang dan disebabkan kedisiplinan dan komitmen  yang di tunjukkan oleh kami, kami dibenarkan untuk mandi kolam yang ada di tapak perkhemahan.


 
 


Pada sebelah malamnya pula merupakan Malam Kebudayaan yang merupakan puncak bagi segala aktiviti di Kem Perdana 2011. Acara ini bermula pada jam 9 malam dan lebih kurang sejam telah diberi masa untuk berlatih sebelum tibanya acara ini. Setiap kumpulan mempersembahkan persembahan yang cukup mantap  walaupun hanya 60 minit berlatih. Hal ini jelas dapat melihat kerjasama yang utuh antara ahli kumpulan dan ini bertepatan sekali dengan tema Kem Perdana iaitui ” Muhibah 1 Seafield” . Pemenang akan di umumkan keesokan harinya, debaran pasti menati untuk mengetahui pemenangnya. Setelah tamat semua persembahan para peserta dibenarkan masuk tidur dan bangun segar pada esok harinya.

Hari Ketiga : 17 April 2011 (Ahad)


Tepat jam 6 pagi wisel di bunyikan menandakan para peserta harus bangun dan menyiapkan diri  untuk aktiviti pada hari ini. Setelah itu, aktiviti senaman pagi diadakan yang diketuai oleh Tuan Jaffny. Mereka bersenam dengan penuh semangat kerana merupakan hari terakhir mereka di kem ini. Sarapan pagi kemudian disediakan dan semua berselera memakan makanan tersebut. Para peserta kemudian melakukan aktiviti refleksi iaitu mengingat kembali segala kepayahan, suka, duka dalam setiap aktiviti yang dijalankan selama 2 hari ini. Bagi kumpulan yang didenda kerana tidak mejaga bendera mereka dengan baik harus berdepan dengan Tuan Rahim dan meminta maaf terhadapnya dan juga harus melakukan apa sahaja yang diminta oleh Tuan Rahim, ada yang kena menari, menyanyi, berlakon, berlari sekeliling kolam 3 pusingan, tekan tubi dan sebangainya. Hal ini mengajar kita semua agar menjaga amanah yang diberi dengan baik dan jangan biarkan seseorang merobek maruah kita seperti sampah. Kemudian, peserta diminta untuk mengemas khemah masing-masing dan disini juga dapat melihat kerjasama antara para peserta apabila semua berganding bahu mengemaskan khemah. 

  
 
Acara penyampaian hadiah kemudian berlangsung yang merupakan acara penutup bagi Kem Perdana 2011, disini semua adalah pemenang dan tiada yang kalah kerana semua menjalankan aktiviti dengan seronok dan baik sekali tanpa sebarang masalah. Berikut adalah pemenang-pemenang bagi aktiviti yang dijalankan :


Malam Kebudayaan:                                            Kumpulan terbaik :
Tempat Pertama : Kumpulan 2                                 Tempat Pertama : Kumpulan 3
Naib Johan : Kumpulan 5                                         Naib Johan : Kumpulan 1
Tempat ketiga : Kumpulan 4                                    Tempat ketiga : Kumpulan 7
                                                                              Tempat keempat : kumpulan 9
Peserta terbaik lelaki : Lim Kah Seng
Peserta terbaik perempuan: Quak Xia Shing
Unit berunform terbaik: Pengangkap

Kem Perdana 2011 berakhir dengan makan tenghaari terakhir bersama semua peserta. Kem Perdana 2011 merupakan kem terbaik pernah saya hadir dan telah banyak mengajar saya erti kesusahan hidup dan kepentingan hidup bekerjasama dan saling tolong-menolong. Kami berharap agar hubungan persahabatan ini tidak berakhir disini dan masih di teruskan di sekolah. Harapan kami agar Kem Perdana pada tahun hadapan lebih menyeronokan dan  mencabar serta masih mengekalkan perpaduan antara satu sama lain . Terima kasih yang tidak terhingga kepada barisan guru yang bertukus lumus memastikan semuanya selamat dan berjalan lancar. Bagi pihak peserta , saya menyusun sepuluh jari memohon ampun kalau ada silap dan salah dan ada yang terkasar bahasa  atau terlepas cakap. Terima Kasih,  kalau ada rezeki jumpa lagi tahun hadapan.

Terima Kasih Guru-guru,
Terima kasih Kem Perdana,
Terima Kasih SMK Seafield.




Saturday, April 9, 2011

SAMBUTAN HARI BUMI SEAFIELD 2011

Program : Sekolah Lestari - Sambutan Hari Bumi Seafield
Tarikh : 9 April 2011
Hari : Sabtu
Masa : 7.30 - 1.10 tgh

Matlamat Program :
Semangat cintakan alam sekitar serta persekitaran sekolah yang bersih, ceria dan selamat

Objektif Program :
  • Memberi pendedahan tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
  • Memberi pendedahan berkaitan keadaan lapisan ozon pada masa kini.
  • Mewujudkan amalan persekitaran sekolah yang bersih.
  • Memupuk semangat bekerjasama antara pelajar, guru serta pihak luar. 
Ucapan oleh tetamu khas Prof Madya Dr. Esther Danial dan Pn Hajah Zaleha Abu Hasan Pengetua Seafield
    

Menurut kata ahli falsafah Eropah iaitu Charles pernah berkata, “Nikmat itu kadang-kadang tidak disedari, hanya apabila ia telah hilang barulah manusia benar-benar terasa” Pokok  merupakan anugerah terindah daripada Tuhan secara semula jadi kepada manusia sebagai khazanah yang paling berharga. Dalam erti kata lain, hutan perlu dihargai oleh seluruh umat manusia kerana tiada galang gantinya dengan apa-apa dimuka bumi ini. Namun kini, kita dikejutkan dengan berita yang menggambarkan sikap rakus manusia dalam memenuhi matlamat material yang kian mendesak, iaitu hutan ditebang sewenang-wenangnya. Situasi ini, jika tidak dibendung akan menyebabkan anak cucu kita tidak dapat menikmati keindahan pokok dan yang penting juga hutan akan mengalami variasi dempak negatif. Oleh yang demikian SMK Seafield telah mengambil inisiatif dengan mengadakan Sambutan Hari Bumi lestari hijau semata-mata memberi kesedaran kepada murid-murid untuk pelihara bumi kita.

Tanggal 9 April, SMK Seafield merupakan satu-satunya sekolah di Subang Jaya yang melancarkan Hari Bumi buat julung kalinya. Hari bumi yang diadakan merupakan salah satu program bagi lestari hijau sekolah yang selalu dikatakan oleh Puan Pengetua, Pn Hajah Zaleha Abu Hasan. Program ini bermula seawal jam 7.30 pagi dengan para pelajar berkumpul di tapak perhimpunan setelah mendapat arahan daripada Pn Ang, guru disiplin. Setelah semua pelajar berbaris dengan teratur dan semua VIP telah hadir, majlis di mulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Negeri Selangor dan diteruskan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mukhlis bagi memberkati lagi majlis yang diadakan.

Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Pn Doris Thomas selaku pengerusi majlis. Teks ucapannya banyak menceritakan tentang kepentingan pokok dalam kehidupan dan akibat menebang pokok sesuka hati. Ucapan yang seterusnya oleh tetamu khas yang dijemput oleh sekolah, Prof. Madya Esther dari Jabatab sains dan matematik Fakulti Universiti Malaya. Dalam ucapanya banyak menceritakan tentang kisah silamnya sebagai seorang guru saing yang menyuruh anak meridnya menjaga alam dan akhirnya mereka bertemu di satu tempat dan anak murid tersebut menegur cikgu dan mengatakan bahawa dia  telah berjaya menjaga alam dengan baik dan mendengar segala katanya ketika di bangku persekolahan dulu.Setelah tamat ucapannya, beliau secara rasminya merasmikan Sambutan Hari Bumi SMK Seafield peringkat sekolah. Setelah itu, majlis diteruskan dengan ucapan yang cukup ringkas, padat lagi bermakna oleh Puan Pengetua, Pn Hajah Zaleha Abu Hasan. Beliau telah mencadangkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa, ”Petani Moden ”yang diketuai oleh YDP PIBG, Dato Abdul Rahman yang bertujuan untuk memastikan sekolah sentiasa di hijauhi dengan pokok-pokok yang segar. Puan Pengetua juga ada menasihatkan kepada para pelajar untuk mengamalkan kitar semula barang yang masih boleh digunakan dan juga menjimatkan tenaga air dan juga elektrik apabila tidak digunakan.


Simbolik Pelancaran Hari Bumi 2011
 

Penyampaian "Mock" cek Mangsa Tsunami kepada wakil JAGAM & bacaan ikrar
 

Setelah selesai ucapan, majlis perasmian diadakan dan ini merupakan majlis perasmian yang paling unik pernah diadakan di SMK Seafield. Majlis perasmian ini dilancarkan dengan melepaskan burung merbok yang dilakukan Oleh Prof. Madya Esther dan juga Dota Abdul Rahman yang diiringi oleh Puan Pengetua dan disaksikan oleh beratus pelajar yang hadir. Majlis dimeriahkan lagi dengan penyerahan cek mangsa tsunami dan gempa bumi di Jepun yang diserahkan oleh Guru Besar kepada wakil Japan Red Force, En Yeoh. Derma tersebut telah disumbangkan ikhlas oleh oleh warga-warga SMK Seafield.

Pada jam 9.00 pagi para pelajar dibahagikan kepada 2 kumpulan, yang petama akan menjalankan aktiviti gotong-royong ditempat yang telah ditetapkan dan yang selebihnya akan bersama mengikuti majlis pelancaran 1 Guru 1 Pokok yang diadakan di padang sekolah. Aktiviti gotong-royong dilakukan dengan penuh meriah dan bersemangat melihat para pelajar bersungguh membersihkan kawasan yang diberi dan membahagikan sampah mengikut barang yang boleh dikitar semula dan yang tidak boleh di kitar semula.Dalam masa yang sama, pelancaran 1 Guru 1 Pokok diadakan dengan menanam pokok yang dilakukan oleh Pn Hajjah Zaleha, Prof. Madya Esther, En Yeoh dan dua orang terhormat yang lain sebagai upacara perasmian. Kemudian para guru dibawa ke dewan untuk menyaksikan persembahan power point yang disediakan mengenai isu-isu alam sekitar serta klip video mangsa tsunami di Jepun. Sehubungan dengan itu, kutipan bagi mangsa-magsa di Jepun masih diteruskan lagi bak kata pepatah ”Berat sama dipikul, ringgan sama dijingjing”. Setelah itu,sedikit ucapan dan nasihat oleh wakil Alam Flora yang membicarakan tentang kepentingan kitar semula. Untuk pengetahuan umum, sampah di Malaysia selama 9 hari sama dengan setinggi Menara Berkembar Petronas ( KLCC ) oleh itu kita harus memainkan inisiatif menjaga alam, bukan sahaja mengitar semula barang namun mengurangkan sampah juga menjadi tanggungjawab kita semua jika tidak mahu hidup di atas sampah. Seterusnya majlis diteruskan dengan pameran mengenai alam sekitar yang juga diadakan di dewan sekolah. Majlis disudahi dengan jamuan makan secara kecil-kecilan dan bersurai pada jam 12.30 tengah hari. Peliharalah Alam Sekitar untuk kehidupan yang lebih sejahtera. Bumi kita hanyalah satu, peliharalah ia. Sekian Terima Kasih. 

Pelancaran 'Program 1 Guru 1 Pokok" di padang sekolah 
 





ANUGERAH TOKOH PELAJAR 2011

Tarikh : Januari - April 2011
Program : Muridku Anakku Sayang (MAS)

TOKOH PELAJAR SESI PAGI/PETANG
Pertandingan ini diadakan sepanjang program MAS dijalankan. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Setiap guru akan diberi 2 token untuk menilai 2 orang pelajar yang layak digelar tokoh pelajar berdasarkan borang kriteria yang telah diberikan. Guru-guru akan menilai pelajar berdasarkan borang cadangan tokoh pelajar yang telah disediakan. Kriteria-kriteria yang disenaraikan akan membantu guru untuk memilih pelajar yang layak diberikan anugerah tokoh pelajar bagi tahun 2011. Semua penyelaras tingkatan 1 hingga tingkatan 5 akan membantu dalam mengenalpasti pelajar-pelajar yang layak digelar tokoh pelajar berdasarkan undian yang terbanyak. Seorang pelajar sesi pagi dan seorang pelajar sesi petang akan dipilih sebagai tokoh pelajar 2011.
Pemenang Anugerah  Tokoh pelajar sesi pagi :

Malisa Shereen Bt. Mohd Saifuzzaman (5B)


Pemenang Anugerah  Tokoh pelajar sesi petang :
Sarah Hannah Bt. Sharil Muha  (2A)

TAHNIAH


Thursday, April 7, 2011

SEMINAR KECEMERLANGAN SEJARAH PMR

TARIKH : 7 APRIL 2011
TEMPAT : DEWAN SEKOLAH
MASA : 8.00 - 10.00 PAGI